Beberapa tahun lalu, kerajaan Amerika Syarikat telah mengharamkan pemasangan aplikasi TikTok pada peranti pintar penjawat awam Amerika Syarikat kerana khuatir aplikasi tersebut akan dijejak oleh kerajaan China kerana aplikasi tersebut milik ByteDance, sebuah syarikat teknologi China.
Banyak perbincangan telah berlaku sepanjang beberapa tahun dari mengharamkan akses kepada aplikasi tersebut secara terus sehinggalah keputusan dibuat untuk pihak Amerika Syarikat membeli pegangan majoriti TikTok di negara tersebut. Konsortium USDS Joint Venture yang terdiri daripada syarikat-syarikat seperti Oracle, Silver Lake, MGX dan banyak pelabur-pelabur lain memegang 80 peratus daripada pegangang TikTok untuk pasaran Amerika Syarikat, manakala ByteDance memegang baki 20 peratus, dengan sistem algoritma untuk TikTok Amerika Syarikat dirumahkan di mesin-mesin pelayan Oracle.

Terkini, pihak Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (Department of Justice) telah membuat pengumuman bahawa pihak penjawat awam Amerika Syarikat kini boleh mula memuat-turun dan menggunakan aplikasi TikTok pada peranti-peranti mereka tanpa sebarang halangan.
Menurut perjanjian yang ditandatangani, operasi TikTok di Amerika Syarikat masih akan dijalankan oleh pihak ByteDance, tetapi data pengguna dan algoritma yang digunakan untuk perkongsian video dan sebagainya akan dipegang oleh USDS Joint Venture.
Ini bermakna bahawa untuk pihak kerajaan Amerika Syarikat, TikTok tidak lagi memperlihatkan sebarang ancaman kepada rakyat negara tersebut, dan ia selamat digunakan orang ramai.
Sumber: Reuters






