Asal Cantik Je Nak Petik! Ini Hukum Ambil Bunga Atau Pokok Di Tepi Jalan Untuk Kegunaan Sendiri

18 Jun 2026 • 4:23 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Asal Cantik Je Nak Petik! Ini Hukum Ambil Bunga Atau Pokok Di Tepi Jalan Untuk Kegunaan Sendiri

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Harus diakui, bunga atau pokok yang ditanam di tepi jalan sememangnya mempunyai kecantikan dan keindahan tersendiri.

Keadaan ini menyebabkan ada segelintir yang ‘terpikat’ dan ‘gatal tangan’ memetik tumbuhan tersebut untuk kegunaan seperti ditanam di kediaman sendiri.

Persoalannya, adakah seseorang itu dibolehkan memetik anak pokok atau bunga di tepi jalan dengan sengaja atau untuk kepentingan sendiri?

Ambil Atau Kerat Pokok Walaupun Sedikit Adalah Haram Bergantung Kepada Situasi – Pejabat Mufti Pulau Pinang

Menurut laman Pejabat Mufti Pulau Pinang, hukum asal perbuatan mengambil mahupun mengerat sedikit ranting serta tunas pada pokok di tempat awam adalah haram.

Ini kerana jelas laman berkenaan, perbuatan sebegitu termasuk dalam kategori mengambil atau memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah SWT.

Ini seperti firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

“Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah,” jelas mereka.

Malah, memetik laman Pejabat Mufti Selangor, perbuatan itu tidak dibolehkan sekiranya hasil dari tindakan tersebut boleh merosakkan atau mencacatkan persekitaran.

Boleh Ambil Jika Adat Setempat Saling Membenar & Menghalalkan

Namun jelas Pejabat Mufti Pulau Pinang, perbuatan itu dibolehkan sekiranya mendapat keizinan daripada pemilik.

“Syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil dan memakannya dengan tidak berlebih-lebihan sekadar untuk keperluan dirinya sahaja,” jelas mereka.

Sebaiknya Ambil Atau Petik Pokok Setelah Mendapat Keizinan Pemilik

Pun begitu, laman berkenaan menjelaskan bahawa seseorang itu sebaiknya tidak mengambil dan memakannya kecuali jika dia benar-benar mempunyai pengetahuan tentang individu berkenaan.

“Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran atau tuan tanah tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya atau orang yang menguruskannya,” jelas mereka.

Kalau Di Tanah Milik Kerajaan Sebaiknya Dapatkan Keizinan Dahulu

Tambah mereka, situasi ini termasuk tanah milik kerajaan atau kawasan rizab yang telah ditentukan.

“Maka sebaiknya hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu. Demikianlah adab-adab yang dititik beratkan dalam Islam. Moga kita dapat mempraktikkannya, insya Allah,” terang mereka lagi.

Penjelasan itu diberikan oleh Pejabat Mufti Pulau Pinang selepas menerima pertanyaan daripada individu tentang hukum mengerat ranting atau mengambil anak pokok yang tumbuh di tepi jalan raya untuk kegunaan sendiri.

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Pinjam Barang Dulu Baru Minta Izin Pemilik? Ini Penjelasan UAI [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Ambil Makanan Adik-Beradik Dalam Peti Sejuk Tanpa Minta Izin? Ini Penjelasannya

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved