
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan asas kecerdasan buatan (AI) dalam mata pelajaran Teknologi dan Digital di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dalam masa sama di peringkat sekolah menengah pula, ia akan diperkukuhkan melalui mata pelajaran berkaitan.
Menurutnya, dengan menggunakan AI, murid belajar untuk menyemak fakta, mempersoalkan jawapan yang meragukan dan menggunakan pertimbangan sewajarnya.
“KPM sedang menggerakkan usaha melalui kurikulum, latihan guru, kemudahan digital dan pembangunan bakat murid.
“Anak-anak diberikan pendedahan awal tentang AI ini, tetapi mesti dipandu dan diberikan pedoman dalam konteks bahawa menggunakan AI itu dengan selamat dan juga beretika,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok, Mohd. Nazri Abu Hassan (PN) berhubung perancangan KPM untuk mengintegrasikan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam silibus sekolah melalui Panduan Literasi AI.
Fadhlina berkata, bagi memastikan integrasi AI dalam pendidikan dilaksanakan secara teratur, perkara ini turut berkait dengan Panduan Literasi AI KPM, diikuti Rancangan Pendidikan Malaysia, kurikulum baharu dan sebagainya.
“Guru juga kita tidak boleh dibiarkan menghadapi perubahan ini tanpa persediaan. Jadi ketika ini, kita sudah pun selesai dalam konteks memastikan bahawa latihan diberikan kepada mereka, telah melibatkan 329,414 guru, manakala murid telah mencecah 1.5 juta.
“Ini penting kerana anak-anak diberikan pendedahan melalui pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pengaturcaraan, robotik dan juga inovasi digital,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Asas AI diperkenalkan di sekolah rendah tahun depan – Fadhlina appeared first on Kosmo Online.



