Didik anak guna AI secara bertanggungjawab – Fadhlina

LocalFamily & Parenting
29 Oct 2026 • 12:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Didik anak guna AI secara bertanggungjawab – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memerlukan sokongan ibu bapa dan perhatian komuniti dalam memastikan anak-anak mereka menggunakan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dengan bertanggungjawab, terutama apabila berada di luar sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menekankan Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan penggunaan teknologi dalam kalangan murid dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selamat.

“KPM memandang serius perkara berkait isu manipulasi imej murid sehingga menghasilkan kandungan berunsur lucah atau mengaibkan diri.

“Panduan Literasi AI KPM itu sangat penting kerana ia menggabungkan dan menggabung jalin usaha semua pihak. Pentadbir, guru, ibu bapa, komuniti dan pelajar itu sendiri bahawa anak-anak kita juga mesti bertanggungjawab apabila menggunakan AI ini. Itu yang mesti kita latih juga,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid (PH) berhubung langkah khusus KPM untuk mencegah kemerosotan nilai murid menerusi literasi AI susulan kes penyuntingan gambar lucah melibatkan pelajar sekolah menengah sebelum ini.

Fadhlina berkata, berhubung kes pelajar diaibkan menerusi penggunaan AI, sokongan perlu diberikan kepada mereka serta tindakan lain oleh pihak berkuasa.

“Selain pencegahan pendidikan dan advokasi, kita juga melihat bahawa sokongan psikososial kepada mangsa ini mesti diberikan secara optimum.

“Jadi anak-anak yang terkesan dengan gambar lucah dan mengaibkan ini mesti diberikan sokongan. Begitu juga dengan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Sebab itu kita mesti bersedia menghadapi cabaran ini dengan semua keperluan yang diperlukan, bukan sahaja di peringkat KPM, tetapi juga sokongan dari luar untuk memastikan gejala ini dapat kita atasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Didik anak guna AI secara bertanggungjawab – Fadhlina appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved