
PUTRAJAYA- Blok ASEAN perlu membangunkan keupayaan tindak balas bencana serantau lebih kukuh, terselaras dan berkesan bagi menghadapi ancaman bukan tradisional yang semakin kompleks.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam konteks ini, tiada negara anggota ASEAN mampu menangani cabaran itu secara bersendirian sepenuhnya.
Beliau berkata, susulan itu, ASEAN perlu memperkukuh asas sedia ada dengan meningkatkan kesiapsiagaan operasi selain menambah baik penyelarasan serta memastikan tentera negara anggota dapat bertindak pantas dan berkesan apabila bencana berlaku.
“Kita sudah mempunyai mekanisme penting, termasuk Kumpulan Kesiapsiagaan Tentera ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana yang menyediakan kerangka untuk menyelaras bantuan ketenteraan serta memudahkan penempatan aset ketenteraan ke kawasan terjejas akibat bencana.
“Perkara ini terbukti menerusi tindak balas ASEAN terhadap gempa bumi di Myanmar pada tahun lalu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-20 di Cebu, Filipina hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada negara ASEAN yang terjejas akibat bencana alam baru-baru ini.
“Di sebalik tragedi ini, kita menyaksikan ketabahan luar biasa rakyat kita. Masyarakat saling membantu, negara jiran menghulurkan bantuan, manakala rakyat turut mempamerkan keberanian dan keprihatinan.
“Semangat solidariti ini sememangnya antara kekuatan terbesar ASEAN. Namun begitu, ketahanan kita perlu disertai usaha pencegahan dan kesiapsiagaan yang berterusan,” jelasnya.
Katanya, ancaman dihadapi ASEAN juga semakin kompleks, saling berkait dan berpotensi membawa kemusnahan lebih besar berbanding sebelum ini.
“Kita perlu mengakui bahawa ancaman bukan tradisional bukan lagi sekadar kemungkinan yang jauh daripada realiti. Ancaman ini benar-benar wujud, berulang dan semakin sukar untuk diabaikan.
“Jadi, Malaysia berpandangan bahawa kita perlu mengambil inisiatif lebih proaktif dan terselaras bagi memperkukuh keupayaan rakyat membuat persediaan, menghadapi kemungkinan serta pulih daripada kejutan sedemikian,” katanya.
Jelasnya, ASEAN juga perlu membangunkan keupayaan tempatan dan serantau lebih kukuh bagi membolehkan tindak balas dilaksanakan dengan berkesan. – KOSMO! ONLINE
The post ASEAN perlu perkukuh kesiapsiagaan hadapi bencana appeared first on Kosmo Online.






