
PUTRAJAYA- Pertikaian maritim di Laut China Selatan dilihat tidak seharusnya menjadi faktor yang memecahbelahkan blok ASEAN, sebaliknya negara anggota perlu mengutamakan dialog bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana, Laut China Selatan merupakan antara ujian paling penting terhadap perpaduan, kredibiliti dan komitmen ASEAN terhadap prinsip-prinsip penubuhannya.
“Kita tidak boleh sesekali menganggap keamanan dan kestabilan ASEAN sebagai sesuatu yang terjamin.
“Pencapaian kita sepanjang hampir enam dekad merupakan hasil dibuat secara teliti, dialog berterusan serta iltizam politik untuk bekerjasama walaupun berbeza pendapat.
“Beberapa negara anggota mempunyai tuntutan maritim yang bertindih dan setiap negara mempunyai kepentingan yang sah dalam melindungi kedaulatan serta hak wilayah masing-masing.
“Namun, tiada pertikaian, sedalam mana sekalipun akarnya, harus dibiarkan memecahbelahkan ASEAN atau menjejaskan keamanan yang telah kita bina selama beberapa dekad,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-20 di Cebu, Filipina hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, masa depan ASEAN juga tidak dapat dijamin oleh mana-mana negara anggota secara bersendirian.
Jelas Mohamed Khaled, kekuatan ASEAN terletak pada kepercayaan yang dibina sesama sendiri, kesediaan mengurus perbezaan secara konstruktif serta tekad mempertahankan kepentingan lebih luas di rantau ini.
“Jadi, ASEAN memerlukan kesiapsiagaan kolektif yang lebih tinggi, penyelarasan yang lebih kukuh serta pelaburan berterusan bagi memberikan manfaat nyata kepada rakyat kita.
“Malaysia berpandangan bahawa ukuran sebenar kejayaan ADMM bukan sekadar kerjasama diwujudkan, tetapi tahap keselamatan dan ketahanan yang terhasil daripada kerjasama tersebut,” katanya.
Susulan itu, katanya, Malaysia kekal komited memperkukuh ADMM, mempertahankan prinsip Kepusatan ASEAN serta membina komuniti serantau yang lebih selamat dan berdaya tahan.
“ASEAN yang kita wariskan kepada generasi akan datang mestilah lebih kukuh berbanding ASEAN yang kita warisi, lebih bersatu selain bersedia menghadapi cabaran serta yakin terhadap keupayaannya menentukan masa depannya sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pertikaian Laut China Selatan tidak seharusnya ‘goncang’ blok ASEAN appeared first on Kosmo Online.





