amree26/08/2026 - 16:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos — Kinergy Advancement Berhad mengukuhkan kedudukan kewangan dengan aset cair naik 43.6% kepada RM168.8 juta dan nisbah hutang bersih susut hampir separuh kepada 0.25 kali.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, perkembangan positif berkenaan, sekali gus memberi syarikat lebih fleksibiliti untuk dapat membiayai pertumbuhan dalam sektor tenaga.
Kumpulan itu turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) 31.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM19.2 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, dengan hasil naik 27.1% kepada RM211.4 juta.
"Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi tempoh enam bulan pula meningkat 29% kepada RM16.4 juta, manakala pendapatan sesaham asas bertambah kepada 0.75 sen." kata Kinergy.
Bagi tempoh suku kedua FY26, hasil juga meningkat kira-kira 11.9% YoY kepada RM109.4 juta, manakala PBT melonjak 40.3% kepada RM10.6 juta dengan PATAMI bertambah 39.5% kepada sebanyak RM9.1 juta.
Prestasi itu meneruskan rekod kumpulan mencatatkan pertumbuhan keuntungan dua angka bagi setiap suku tahun sejak suku pertama FY24, dengan menunjukkan momentum pendapatan yang semakin konsisten.

Pertumbuhan pendapatan Kinergy pada separuh pertama FY26 terus dipacu segmen rumusan tenaga lestari (SES), yang naik 50.5% kepada RM170.7 juta dan kini menyumbang lebih 80% daripada jumlah hasil.
"Prestasi SES disokong projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di Sabah dan Labuan, manakala aktiviti kejuruteraan tradisional mencatatkan hasil RM40.4 juta," jelasnya.
Selain itu, kumpulan meningkatkan kecairan melalui strategi penstrukturan semula modal, apabila nilai aset tenaga boleh diperbaharui (RE) RM41.5 juta dijana menerusi pelupusan kepentingan.
Ia menyaksikan Kinergy mengekalkan pegangan kawalan 51% dalam Jati Cakerawala Sdn Bhd, dan urus niaga itu bersama dividen syarikat bersekutu RM4.1 juta meningkatkan tunai kepada RM107.8 juta.
Setakat 30 Jun 2026, buku tempahannya berjumlah RM1.14 bilion, terdiri daripada RM93 juta projek kejuruteraan dan RM1.05 bilion projek SES, manakala saluran tender aktif mencecah RM3.08 bilion.
"Dengan pelbagai tender 2.7 kali lebih daripada buku tempahan semasa, kumpulan menilai peluang RE termasuk solar berskala besar (LSS) dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS)," tambahnya lagi.
Di samping itu, Kinergy berusaha meneroka potensi infrastruktur berkaitan pusat data (DC) bagi memperluaskan pertumbuhan dalam tonggak utama iaitu EPCC, RE dan pengeluar tenaga bebas (IPP). - DagangNews.com


