ASM 2 Wawasan istihar agihan pendapatan 5 sen seunit

Business & FinancePersonal Finance
28 Aug 2026 • 5:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ASM 2 Wawasan istihar agihan pendapatan 5 sen seunit

PETALING JAYA: Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026, meningkat daripada 4.75 sen seunit pada tahun sebelumnya.

Pengagihan berjumlah RM1.31 bilion itu merupakan yang tertinggi dicatatkan dana berkenaan dalam tempoh tujuh tahun lalu dan memberi manfaat kepada lebih 1.01 juta pemegang unit dengan pegangan keseluruhan sebanyak 26.3 bilion unit.

Kadar pengagihan 5.00 peratus itu mengatasi penanda aras Deposit Tetap Maybank 12 Bulan sebanyak 2.01 peratus dengan perbezaan 299 mata asas.

Sehingga 24 Ogos lalu, ASM 2 Wawasan mencatatkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM1.43 bilion.

PNB berkata, prestasi lebih kukuh itu mencerminkan daya tahan dana dalam mengharungi persekitaran pelaburan yang semakin tidak menentu, termasuk peningkatan ketegangan geopolitik, konflik berterusan di Asia Barat, perubahan jangkaan kadar faedah serta ketidaktentuan pasaran.

Katanya, prestasi berkenaan turut disokong pengurusan portfolio yang berdisiplin, pengurusan risiko secara berhemat serta penempatan pelaburan secara terpilih dalam segmen yang mempunyai potensi pertumbuhan struktur yang kukuh.

“Pendapatan dana disokong oleh keuntungan terealisasi dan pendapatan dividen daripada pelaburan yang dipelbagaikan merentasi ekuiti domestik dan global.

“Pada masa sama, peruntukan dalam instrumen pendapatan tetap, hartanah dan ekuiti persendirian menyumbang kepada kepelbagaian sumber pendapatan yang lebih meluas serta membantu mengurangkan kesan perubahan keadaan pasaran terhadap portfolio,” katanya dalam kenyataan.

Bagi pemegang unit yang memilih pengaturan zakat khultah (Kelas B), mereka akan menerima dividen bersih selepas zakat dengan potongan sebanyak 2.57 peratus daripada dividen, menghasilkan anggaran kadar dividen bersih 4.87 peratus berdasarkan kadar agihan 5.00 peratus.

Dalam pada itu, ASNB terus menggalakkan pelabur mempelbagaikan portfolio menerusi Financial Planning Solution Package (FPSP) 2026 yang menggabungkan dana harga tetap dan dana harga berubah dalam satu penyelesaian pelaburan.

Melalui FPSP 2026, pelabur boleh mendapatkan peruntukan ASM bersamaan 40 peratus daripada pelaburan FPSP mereka, selain berpeluang memperkukuh simpanan jangka panjang menerusi rangkaian dana ASNB yang lebih luas.

Pakej berkenaan berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember 2026 dan terbuka kepada pelabur Malaysia yang layak dengan jumlah pelaburan minimum RM10,000 melalui saluran ASNB yang mengambil bahagian.

Dalam pada itu, ASNB turut melancarkan Kempen Geng Labur ASB dari 1 Ogos 2026 hingga 31 Januari 2027, yang memberi tumpuan kepada galakan rakyat Malaysia melabur bersama keluarga dan rakan bagi mencapai matlamat kewangan bersama.

Kempen itu menawarkan peluang kepada peserta untuk memenangi pakej percutian tajaan penuh ke Hokkaido, Jepun dan KwaZulu-Natal, Afrika Selatan, selain penginapan di resort premium tempatan.

Sementara itu, pengiraan agihan pendapatan ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana.

Agihan yang diumumkan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2026.

Urus niaga ASM 2 Wawasan di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, ditangguhkan sementara dari 28 hingga 31 Ogos 2026 bagi memudahkan pengiraan agihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyambung semula urus niaga melalui portal myASNB, aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 September 2026. –UTUSAN

The post ASM 2 Wawasan istihar agihan pendapatan 5 sen seunit appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved