
LKUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia 2 - Wawasan (ASM 2 Wawasan) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026.
Agihan berjumlah RM1.31 bilion itu merupakan yang tertinggi bagi dana berkenaan dalam tempoh tujuh tahun dan memberi manfaat kepada lebih 1.01 juta pemegang unit dengan jumlah pegangan sebanyak 26.3 bilion unit.
Kadar agihan 5.00 peratus itu turut mengatasi penanda aras dana berkenaan, iaitu kadar deposit tetap Maybank 12 bulan sebanyak 2.01 peratus, dengan perbezaan sebanyak 299 mata asas.
Sehingga 24 Ogos 2026, ASM 2 Wawasan merekodkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM1.43 bilion.
Agihan pendapatan dana itu meningkat daripada 4.75 sen seunit pada tahun kewangan sebelumnya kepada 5.00 sen seunit bagi tahun ini.
ASNB berkata prestasi lebih kukuh itu mencerminkan daya tahan dana dalam mengharungi persekitaran pelaburan yang semakin tidak menentu.
Menurutnya, prestasi berkenaan dicapai ketika pasaran berdepan ketegangan geopolitik yang meningkat, termasuk konflik berterusan di Timur Tengah, perubahan jangkaan kadar faedah serta turun naik pasaran yang berterusan.
Sementara itu, pemegang unit yang memilih pengaturan khultah zakat (Kelas B) akan menerima agihan bersih selepas zakat, dengan potongan sebanyak 2.57 peratus daripada agihan.
Ini bersamaan anggaran kadar agihan bersih sebanyak 4.87 peratus, berdasarkan kadar agihan kasar yang diumumkan sebanyak 5.00 peratus. - Getaran, 28 Ogos 2026


