ASP, dua pegawai DBKL diperintah bela diri

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 1:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ASP, dua pegawai DBKL diperintah bela diri

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) serta Timbalan Pengarah Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pembantunya diperintah membela diri atas pertuduhan rasuah termasuk tidak mengambil tindakan terhadap pusat hiburan.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ASP Eddie Lau Lay Chuong, 45, serta Muhamad Irwan Abdullah, 46, dan Zahari Muhammad, 36.

Berdasarkan pertuduhan, Lay Chuong yang semasa kejadian bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah memperoleh suapan RM10,000 daripada seorang lelaki berusia 59 tahun sebagai dorongan menutup siasatan terhadap pekerja syarikat lelaki berkenaan dibawah Seksyen 3(2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rsebuah rangkaian kafe di Petaling Jaya, kira-kira pukul 4.18 petang pada 6 November 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen
Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding berlainan, Muhamad Irwan dan Zahari didakwa dengan niat bersama meminta suapan bernilai RM200,000 dan menerima RM160,000 secara bulanan daripada seorang lelaki berusia 64 tahun.

Ini sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang penguatkuasaan ke atas premis-premis pusat hiburan tanpa lesen yang sah di bawah jagaan lelaki itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Puchong pada Februari 2024.

Muhamad Irwan yang juga Timbalan Pengarah Penguatkuasa DBKL turut didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM130,000 daripada lelaki sama untuk tujuan yang sama di tempat sama pada pukul 9 malam, 5 Jun 2024.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut
Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Peguam Kirthi Raj mewakili Lay Chuong manakala Peguam Syamil Mohd. Othman mewakili Muhamad Irwan dan Zahari memaklumkan anak guam mereka akan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Noorhani Muhmmed Ayub dan Pegawai Pendakwa Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi.

Mahkamah menetapkan 19 November depan bagi sebutan untuk Lay Chuong dan 13 November bagi Muhamad Irwan dan Zahari. – KOSMO! ONLINE

The post ASP, dua pegawai DBKL diperintah bela diri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved