
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan seorang pegawai kesihatan membela diri atas tujuh pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pemilik bakeri yang disaman Kementerian Kesihatan, lima tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan lelaki berkenaan.
Pada 16 April 2024, Mahkamah Sesyen Pasir Mas melepas dan membebaskan Mohd. Faris Helmi Ab. Rahim, 38, di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri.
Keputusan pembebasan itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 10 Disember 2025 selepas mendapati tiada kes prima facie berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Noorin menegaskan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila mengenakan beban pembuktian melampaui keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.
Katanya, Mahkamah Sesyen juga telah tersilap menganggap elemen persetujuan sebagai perkara yang perlu dibuktikan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
“Oleh itu, kami berpendapat terdapat asas yang sewajarnya untuk mahkamah ini campur tangan dalam keputusan kedua-dua mahkamah.
“Dengan demikian, rayuan pihak pendakwaan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen diketepikan.
“Kami mendapati bahawa satu kes prima facie telah dibuktikan terhadap responden (Mohd. Faris Helmi) bagi pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Tambah Hakim Noorin, mahkamah mendapati keterangan pengadu merupakan keterangan secara langsung berhubung perbuatan material yang menjadi inti pati pertuduhan dan bukannya suatu keterangan yang secara semula jadi (intrinsically) tidak boleh dipercayai.
Katanya, isu perbezaan tarikh, kandungan laporan polis mahupun ketiadaan keterangan sokongan tertentu hanyalah melibatkan butiran periferi (peripheral) yang tidak menjejaskan aspek utama kes pendakwaan.
“Seorang saksi mungkin boleh dicabar kredibilitinya, tetapi itu tidak bermakna keterangannya secara intrinsically tidak boleh dipercayai.
“Sama ada keterangan saksi tersebut akhirnya dapat bertahan selepas penelitian yang sewajarnya pada akhir keseluruhan kes adalah perkara yang sepatutnya diputuskan selepas responden diberi peluang untuk menjawab,” katanya.
Dengan keputusan itu, Mahkamah Rayuan memerintahkan kesemua tujuh pertuduhan terhadap Mohd. Faris Helmi dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas untuk peringkat pembelaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farhana Adham, manakala Mohd. Faris Helmi sebagai responden diwakili peguam, Siti Syaerah Meor Zulkefli ‘Auni.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita berumur 34 tahun dalam kereta di hadapan sebuah sekolah agama di Pasir Mas dan stesen minyak di Salor.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5.30 petang, 29 Julai 2019 dan 1 petang, 18 September 2021 dengan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. – UTUSAN
The post Mahkamah Rayuan perintah pegawai kesihatan bela diri kes seks luar tabii appeared first on Utusan Malaysia.






