AstraZeneca Tarik Balik Vaksin Covid-19 Di Seluruh Dunia, Berkuatkuasa 7 Mei

Health & Fitness
8 May 2024 • 10:07 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Syarikat farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca (AZ) semalam memaklumkan mereka menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia, lapor Telegraph.

Vaksin itu tidak lagi boleh digunakan di Kesatuan Eropah selepas syarikat itu secara sukarela menarik balik ‘kebenaran pemasaran’.

Permohonan untuk menarik balik vaksin itu dibuat pada 5 Mac dan berkuat kuasa pada 7 Mei ini.

Permohonan serupa juga akan dibuat di United Kingdom dan negara lain yang telah meluluskan vaksin itu yang dikenali sebagai Vaxveria, pada bulan depan.

image is not available

Kesan sampingan punca tarik balik

Dalam pada itu, AstraZeneca telah memulakan penarikan vaksin Covid-19 di seluruh dunia kerana lebihan vaksin terkini yang tersedia sejak pandemik itu.

Keputusan menarik balik itu dipercayai dibuat selepas syarikat itu mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin berkenaan boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku dan berbahaya.

Dalam dokumen undang-undang yang dikemukan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari lalu, ia membuat beberapa pengakuan, antaranya menyatakan bahawa vaksin Covid-19 buatannya boleh menyebabkan TTS atau ‘Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome’ iaitu pembekuan darah dan kiraan platelet darah menjadi rendah.

image is not available

Pengakuan yang dibuat AstraZeneca itu juga secara langsung membuka jalan untuk pampasan undang-undang bernilai jutaan pound, dengan 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini, menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).

Syarikat farmaseutikal ini juga menghadapi saman atas dakwaan vaksin mereka yang dibangunkan bersama Universiti Oxford boleh sebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Dalam pada itu, AstraZeneca juga kini dikatakan sudah beralih ke vaksin virus pernafasan dan ubat obesiti melalui beberapa urus niaga tahun lalu selepas pertumbuhan yang perlahan apabila jualan ubat Covid-19 merosot.

AZ ialah syarikat senarai awam kedua terbesar di UK, dengan modal pasaran melebihi £170 bilion (RM870 bilion).

Seram pulak bila baca, admin dahlah tiga dos AZ ni…

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.