amree02/10/2026 - 10:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Astro Malaysia Holdings Berhad dijangka memberi tumpuan kepada usaha menambah semula pelanggan baharu pada tahun kewangan 2027 (FY27) bagi mengimbangi tekanan daripada persaingan penstriman global yang semakin sengit, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, strategi berkenaan akan menjadi antara keutamaan kumpulan itu bagi FY27, selain menawarkan banyak kandungan dan pakej tambahan berasaskan nilai bagi menarik pelanggan baharu.
Kumpulan tersebut juga ujarnya, dijangka terus mengembangkan perniagaan yang sedia ada seperti platform penstriman Sooka, pengiklanan digital dan BizOne, dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan lain.
"Pada masa sama, Astro akan meneruskan usaha merasionalisasi kos dalam operasi legasi bagi meningkatkan daya saing ketika pengguna mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengakses kandungan," jelas Kenanga dalam notanya.
Justeru, firma berkenaan menurunkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY27 sebanyak 5% berikutan perbelanjaan pengiklanan dan pertambahan bersih pelanggan yang lebih lemah daripada jangkaan.
Bagaimanapun ia mengekalkan harga sasaran (TP) iaitu 6 sen sesaham dan penarafan ‘market perform’, berdasarkan penilaian tidak berubah sebanyak 0.25 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/B) FY27.

Dalam perkembangan positif kata Kenanga, Astro dilihat terus memperluas nilai dan capaian harta intelek (IP) menerusi kerjasama pengedaran strategik dengan platform penstriman antarabangsa.
Filem dan siri terbitannya juga terus mencatat prestasi kukuh dalam senarai Top 10 Netflix Malaysia, termasuk Sheriff: Narko Integriti, Dongeng Sang Kancil dan Project High Council, dengan beberapa karya berkenaan pernah menduduki tempat pertama.
"Astro Shaw turut menguasai 52% pasaran kutipan 'box-office tempatan' setakat ini, dengan kutipan RM59.7 juta menerusi filem seperti Malaikat Malam dan Polong, selain potensi karya akan datang termasuk Chelot dan Terbang," tambahnya.
Kenanga berkata, portfolio IP Astro yang semakin berkembang berpotensi memberikan sumbangan hasil lebih besar menerusi penjanaan nilai kandungan bukan sahaja dalam pasaran televisyen tempatan, malah melalui sindiket serantau dan platform penstriman antarabangsa.
Namun, persaingan daripada platform 'over-the-top' (OTT) global, kotak TV tidak sah serta perkhidmatan penstriman muzik berasaskan kecerdasan buatan (AI) kekal sebagai cabaran struktur.
Ia merujuk kerugian bersih RM25.8 juta pada suku kedua FY27 berbanding keuntungan RM16.39 juta setahun sebelumnya, manakala hasil susut 7% kepada RM633.75 juta, bagi separuh pertama FY27, dan kerugian bersih berjumlah RM24.24 juta dengan hasil turun 7% kepada RM1.29 bilion. - DagangNews.com

