
Hari ini Menteri Komunikasi, Dato’ Fahmi Fadzil mengumumkan hak penyiaran Piala Dunia 2026 di Malaysia dipegang oleh Unifi TV dan RTM. Ia tiba hanya 37 hari sebelum temasya sukan bola sepak terbesar dunia ini bermula kerana rami peminat mula risau terlepas menontonnya secara sah di Malaysia.

Selepas pengumuman dilakukan, pihak Astro mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan mereka sedang melakukan perbincangan dengan pemegang hak penyiaran di Malaysia untuk menyiarkan perlawanan Piala Dunia menerusi Astro, NJOI dan Sooka bagi meluaskan capaian kepada jutaan penonton tambahan.
Mereka turut mengesahkan terlibat dengan bidaan hak penyiaran dengan FIFA tetapi tawaran mereka tidak diterima. Ini menamatkan hak penyiaran Piala Dunia yang dipegang Astro selama 20 tahun. Astro turut menyatakan kos hak penyiaran antarabangsa meningkat akibat inflasi dan persaingan global. Ini tidak dibantu oleh aktiviti cetak rompak yang berleluasa, termasuk Piala Dunia 2018 dan 2022, mengurangkan nilai komersial hak siaran untuk platform sah
Kini terpulang kepada Unifi TV dan RTM sama ada ingin membenarkan Astro menerima beberapa perlawanan piala dunia mungkin menerusi slow perlawanan terpilih yang diterima oleh RTM. Ini adalah situasi yang janggal bagi Astro kerana semasa Piala Dunia 2018, mereka menghalang perlawanan ditayangkan menerusi RTM jika ditonton menerusi Unifi TV.



