Pada minggu lepas, kami ada melaporkan tentang siri komputer riba ASUS BR1402 yang dibangunkan khusus untuk para pelajar K-12 (tadika ke Tingkatan 5) yang hadir dengan dua pilihan model, satu dengan rekaan kompuer riba tradisional, dan satu lagi yang boleh dipusing paparannya untuk dijadikan sebuah tablet.

Kini, ASUS Malaysia telah mengumumkan bahawa adiknya, ASUS BR1102 kini di pasaran tempatan. Jika BR1402 hadir dengan paparan skrin bersaiz 14 inci, ASUS BR1102 ini hadir dengan paparan bersaiz 11.5 inci dan resolusi 1366 x 768 dengan fungsi sesentuh.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel N100 ke i3-N305 dan mempunyai 8GB memori DDR4 dan pilihan storan 128GB UFS sehinggalah storan SSD bersaiz 1TB. Ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi sambungan nirwayar seperti Bluetooth 5 dan juga WiFi 5 yang cukup baik untuk sambungan internet yang pantas.

Dari segi rekaan, komputer riba ini juga mempunyai rekaan yang cukup teguh sekali, dengan piawaian MIL-STD-810H yang membantu dalam memastikan ia boleh digunakan dengan lebih kasar tanpa begitu banyak masalah.

Ia juga mempunyai lapisan anti-mikrobial yang memastikan bahawa kuman-kuman tidak berkeliaran di komputer riba dan menjangkiti anak-anak yang menggunakan komputer riba ini.
Lebih menarik lagi, komputer riba ini juga boleh ditukar komponen-komponen dalaman boleh ditukar dengan mudah, seperti bateri, memori, storan.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ini, yang terdiri daripada dua model termasuklah ASUS BR1102C dan ASUS BR1102F sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga berikut:
- ASUS BR1102C – Bermula dari RM2099
- ASUS BR1102F – Bermula dari RM2399


![[EKSKLUSIF] Pelajar makin terdedah gejala mental](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)
