Ulasan Xiaomi 13 Ultra – Dengan Leica Semuanya Ultra!

TechnologyDigital
4 Jul 2023 • 4:47 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Selepas satu minggu menjadikan Xiaomi 13 Ultra sebagai peranti harian saya, tidak dinafikan sekali lagi Xiaomi telah hadir dengan telefon pintar yang hampir sempurna. Peranti ini menawarkan ciri dan fungsi yang lengkap untuk sebuah peranti mercu dengan fokus kepada fotografi serta videografi. Persoalannya adakah berbaloi untuk membelanjakan wang sehingga RM5199 atau Xiaomi 13 yang berharga RM3499 sudah memadai?


SPESIFIKASI

Xiaomi 13 Ultra
Skrin6.73-inci AMOLED LTPO, 3200×1440,
120Hz, HDR10+, Dolby Vision, 2600 nits
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 (4nm)
Cip1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12 GB LPDDR5X
7 GB Memori Maya
Muatan Dalaman512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP (Sudut Lebar), f/1.9-f/4.0 (apertur boleh-ubah),
HyperOIS
50 MP (Ultra Sudut lebar), f/1.8, makro 5sm,
50 MP (Telefoto), f/1.8, OIS, 3.2x zum optikal
50 MP (Super Telefoto), f/3.0, OIS, 5x zum optikal

Leica Authentic Look, Leica Vibrant Look
Dolby Vision, 4K 60fps, 8K 24fps, 10-bit LOG
Lensa LEICA VARIO-SUMMICRON
Kamera Depan32 MP, f/2.0, EIS, HDR
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 90W
Pengecacan nirwayar 50W
Pengecasan nirwayar berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanRM5199 (12/512 GB)

SKRIN

Dalam banyak-banyak telefon pintar yang telah tiba di makmal Amanz untuk diulas, Xiaomi 13 Ultra di mata saya adalah kedua yang terbaik pernah saya gunakan selepas Sony Xperia 1 IV yang menyokong resolusi sehingga 4K.

Saiz skrin 6.73″ dari panel AMOLED LPTO yang menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz, beresolusi WQHD+ dan mampu memaparkan kandungan Dolby Vision adalah ciri terbaik untuk disertakan pada sebuah peranti mercu. Menikmati kandungan video di Netflix dan YouTube memberikan pengalaman penggunaan yang mengasyikkan. Sayang sekali Apple TV+ tidak disokong pada peranti Android untuk memanfaatkan teknologi skrin yang hebat ini.

image is not available

Mod Sunlight yang boleh memastikan skrin mencapai tahap kecerahan mencapai 2600 nits adalah amat dihargai. Tiada masalah untuk menggunakan 13 Ultra di luar di bawah cahaya matahari yang terik. Setiap sentuhan dan paparan adalah sangat lancar tanpa masalah sela masa kerana skrin yang menyokong kadar sentuhan sehingga 240Hz.

image is not available

Tidak dinafikan rekaan skrin melengkung sedikit menjengkelkan untuk menonton video dalam format skrin penuh. Ini memaksa saya menonton dalam format asal dengan bar hitam. Syukur skrin AMOLED berkualiti tidak mengaktifkan bahagian warna hitam menjadikannya cukup gelap dan hampir imersif.

BIOMETRI

Seperti kebanyakan peranti mercu Xiaomi, 13 Ultra juga menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin yang prestasinya cukup baik. Jari saya berpeluh dan kotor pun tidak ada masalah untuk dikesan. Malah dengan sokongan menyahkunci peranti dengan wajah menggunakan kamera swafoto juga kini lebih pantas cukup membantu.

REKAAN

Jika anda mengikuti perkembangan kamera Leica, 13 Ultra menggunakan rekaan yang lebih kurang sama dengan kamera-kamera mereka iaitu bonggol kamera gergasi yang mimik lensa serta panel belakang dengan kulit palsu seperti tubuh Leica M11 Monochrom. Bukan itu sahaja, kerangka pelindung yang diberikan dalam kotak turut mempunyai tekstur seakan Leica Q3 yang memberi cengkaman tambahan. Kemasan seakan kulit ini sama seperti yang juga digunakan pada Vivo X Fold2 dan Oppo Find N2 yang telah diulas di laman ini.

image is not available

Di panel belakang Xiaomi turut menggunakan rekaan yang sedikit beralun dari bawah peranti ke bahagian atas. Xiaomi menyatakan 13 Ultra menggunakan rekaan tiga-lapis yang unik iaitu lapisan pertama bingkai aluminium 4.4x lebih tahan lasak berbanding model lalu, kedua panel kulit palsu dan ketiga bonggol kamera gergasi. Selain itu peranti ini turut melepasi piawaian kalis air serta debu IP68.

image is not available

Di atas peranti terdapat dua lubang mikrofon, pemancar infra merah untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh dan kekisi speaker. Di bawah pula terdapat satu lagi lubang mikrofon, slot kad SIM, port USB-C dan kekisi speaker kedua untuk sokongan stereo Dolby Atmos. Di belakang peranti bonggol kamera gergasi ini memuatkan empat sensor, dua lampu LED flash berasingan dan satu lagi lubang mikrofon.

image is not available

Sisi kiri peranti tiada apa-apa, tetapi di sisi kanan ada butang laras audio dan butang kuasa. Skrin hadapan pula menggunakan rekaan melengkung 3D dengan lubang di tengah atas untuk kamera swafoto.

Secara keseluruhan Xiaomi 13 Ultra adalah sebuah peranti yang nampak cantik kerana rekaan yang mempunyai identiti tersendiri membezakan diri dengan peranti pesaing. 13 Ultra juga adalah lebih ringan berbanding iPhone 13 Pro. Walaupun begitu peranti ini masih terasa premium dan mewah.

image is not available

Pada masa yang sama peranti yang tebal ini turut mudah dikendalikan. Cuma apa yang saya tidak suka adalah tidak kira memegang peranti ini secara menegak atau melintang, jari saya akan mudah tersentuh kamera menyebabkan ia kotor dan perlu sentiasa dilap sebelum menggunakannya.

image is not available

PERISIAN Dan PENGALAMAN PENGGUNAAN

Xiaomi 13 Ultra masih lagi menjalankan MIUI 14 berasaskan Android 13 yang sama dengan Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Sepanjang penggunaan peranti ini saya rasakan Xiaomi mungkin mendengar keluhan saya. Ini kerana MIUI 14 pada 13 Ultra tidak mempunyai banyak iklan dan aplikasi gendut seperti MIUI sebelum ini. Tidak dinafikan masih belum suci seperti Realme UI atau Android stok, tetapi sekurang-kurangnya ada perubahan.

image is not available

Ini secara tidak langsung memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik, lancar dan tenang. MIUI 14 pada peranti ini turut tidak banyak jauh bezanya dengan peranti Xiaomi lain kecuali dengan beberapa penambahan ciri baharu yang pasti akan memudahkan pengguna.

Terdapat tiga ciri yang paling saya suka iaitu Detect Gaze yang sudah ada pada peranti MIUI lain. Tetapi dengan Apple sedang menguji penjagaan jarak antara skrin dan mata ciri ini semakin seronok digunakan kerana tidak kira berapa masa saya tetapkan skrin untuk mati selagi kamera mengesan mata saya sedang melihat selagi itulah ia tidak akan terkunci.

image is not available

App vault yang kini menjadi aplikasi berasingan sebagai alternatif kepada laman Google Discover di skrin utama adalah konsep yang menarik. Ia mirip apa yang ada pada iOS, peranti-peranti Android BBK dan banyak lagi. Cuma saya kurang gemar menggunakannya kerana banyak ciri menarik terhad di MIUI China sahaja.

Ciri menarik lain yang saya bersyukur ada pada MIUI 14 adalah;

  • Pengimbas cap jari bawah skrin yang bukan sahaja pantas tetapi turut boleh mengimbas nadi.
  • Memory Extension menambah memori secara maya sehingga 7GB menjadikan jumlah RAM keseluruhan mencecah 19GB. Ini membantu meningkatkan prestasi sedikit.
  • Papan pemuka sekuriti privasi tersendiri yang berbeza dengan versi Android stok. Saya suka apabila sistem memberitahu apa langkah seterusnya untuk memastikan data dan privasi saya dilindungi.

image is not available

PRESTASI DAN PENANDA ARAS

Xiaomi 13 Ultra hadir dengan sistem penyejukan Loop LiquidCool. Sistem ini bukan sekadar gimik tetapi memang benar-benar berfungsi kerana peranti tidak memanas apabila bermain permua dalam jangka masa panjang. Saya banyak bermain COD Mobile, Marvel SNAP dan Asphalt 9 setiap hari. Sekitar dua jam bermain peranti masih boleh dipegang dengan baik. Pemanasan dilihat hanya berlaku apabila menggunakan kamera tiga minit dan ke atas.

image is not available

13 Ultra turut tidak ada masalah dalam mengendalikan tugasan harian. Saya masih boleh menulis artikel melalui pelayar web, penggunaan media sosial juga lancar, tiada isu lengah masa yang serius dan menjalankan aplikasi yang banyak di latar sambil setiap satu dikunci agar sistem tidak boleh menghentikannya turut masih menjadikan peranti ini kekal pantas dan lancar.

Dalam ujian penanda aras Geekbench 6 memaparkan skor yang paling tinggi berbanding peranti Android yang pernah kami uji. Malah selama ini hanya iPhone 14 Pro Max mencatatkan skor tertinggi dan akhirnya peranti berjenama buah ini ada pesaing sengit. Untuk AnTuTu 3D juga mempunyai mata tertinggi iaitu lebih 1.5 juta yang sebelum ini dicatatkan oleh Xiaomi 13 Pro.

image is not available

Skor ujian penanda aras yang saya bandingkan ini adalah dengan peranti-peranti Android yang dijana cip Snapdragon 8 Gen 2. Kecuali pada Galaxy 23 Ultra dengan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy dan iPhone 14 Pro Max dengan A16 Bionic. Agak menarik untuk melihat 13 Ultra yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 2versi biasa mencatatkan skor lebih tinggi berbanding S23 Ultra yang mempunyai CPU (3.2GHz vs 3.36GHz) dan GPU (680MHz vs 719MHz) yang lebih pantas.

Geekbench 6

  • Xiaomi 13 Ultra – 2015/5457
  • Honor Magic5 Pro – 1925/4852
  • Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

AnTuTu 3D

  • Xiaomi 13 Ultra – 1,527,588
  • Honor Magic5 Pro – 1,090,731
  • Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Selain cip pemprosesan, memori LPDRR5X untuk RAM dan storan UFS 4.0 turut memainkan peranan untuk prestasi yang konsisten. Tidak lupa juga yang pengoptimasian perisian membantu menjadikan peranti selesa digunakan oleh sesiapa sahaja.

TELEFONI Dan GPS

Sejak kebelakangan ini apabila saya menggunakan peranti-peranti MIUI, saya tidak lagi mengalami masalah rangkaian. Pada 13 Ultra sambungan WiFi, data mudah alih dan panggilan telefon semuanya stabil dan lancar. Malah di kawasan yang iPhone 13 Pro saya hanya mampu mendapatkan 1 palang rangkaian 4G, 13 Ultra boleh disambungkan sehingga hampir palang penuh. Nyata sistem antena untuk rangkaian selulur Xiaomi 13 Ultra adalah lebih ampuh berbanding iPhone 13 Pro.

Tiada masalah ketika panggilan telefon kerana mikrofon yang berkualiti dan sangat jelas dan lantang. GPS juga lancar dan tepat apabila mengunci lokasi dan mengikut arahan selok-belok tidak kira menggunakan Google Maps atau Waze.

KAMERA

Sejak beberapa telefon pintar Android dengan sensor kamera 1″ tiba di makmal Amanz saya tidak boleh lupakan betapa hebatnya sistem kamera seperti ini. Bayangkan tanpa AI dihidupkan, mana-mana mod pintar digunakan dan hanya mod manual 50MP hasil gambar seakan mod potret. Bokeh yang semula jadi, warna yang cantik, butiran yang terpelihara serta fokus yang baik.

image is not available

Untuk Xiaomi 13 Ultra sistem lebih kurang sama dikekalkan dengan beberapa penambahan dari segi perisian untuk menjadikan aplikasi kamera lebih berkuasa. Ciri HyperOIS pula menggabungkan OIS fizikal dan perisian untuk mod malam dan video yang lebih sedap mata memandang.

image is not availableimage is not available
Apertur boleh-ubah : f/4.0 memelihara latar belakang, f/1.9 seakan mod potret dengan kesan bokeh

image is not available
Mod auto dengan penuras filem

image is not available
Mod auto dengan penuras klasik

image is not available
Mod malam auto

Di makmal Amanz kamera zum terbaik setakat ini masih dipegang oleh Samsung kerana algoritma Space Zoom yang telah dilatih sejak Galaxy S20 Ultra lagi. 13 Ultra cuba menawarkan ciri lebih kurang sama dengan zum digital mencapai 120x tetapi sayang sekali hasilnya hambar. Apa yang mengejutkan di mata saya adalah kemampuan zum 30x yang cukup hebat.

image is not availableimage is not available
3.2x zum optikal vs 5x zum optikal – Siang

image is not availableimage is not available
30x zum vs 120x zum – Malam

Kamera terakhir di belakang turut menggunakan sensor 50MP yang sama dipadankan kepada lensa sudut ultra-lebar dan juga makro 5 cm namun Ia tidak dilengkapi OIS . Mod ini turut masih memelihara butiran yang baik dan mempunyai profil warna lebih kurang sama dengan sensor-sensor lain. Peralihan antara setiap sensor juga lancar menjadikan pengalaman penggunaan kamera tidak rasa janggal.

image is not available
Sudut-ultra lebar

image is not available
Mod makro

Kamera swafoto 32MP adalah lebih kurang sama dengan apa yang telah saya uji pada Xiaomi 13 dan Effi pada Xiaomi 13 Pro. Profil warna Leica Authentic dan Leica Vibrant turut boleh dipilih sebelum ambil mana-mana gambar mengikut citarasa masing-masing. Begitu juga dengan mod potret Master Lens yang mimik lensa kamera Leica berbeza seperti 35mm, 50mm, 90mm dan 75mm yang masih dikekalkan seperti sebelum ini. Saya akan uji lebih lagi mod ini dalam ulasan untuk melihat ada atau tidak perbezaan dengan 13 dan 13 Pro.

image is not available
Master Lens 35mm – Documentary

image is not available
Master Lens 50mm – Swirly Bokeh

VIDEO

Xiaomi 13 Ultra turut menyokong rakaman video 8K 24fps, 4K Dolby Vision, rakaman format 10-bit LOG dan boleh menyambungkan peranti ke empat kamera dan empat monitor untuk tujuan pemantauan oleh pengguna profesional secara nirwayar. Tetapi penggunaan ciri profesional ini sedikit mengelirukan.

Walaupun begitu ia tidak menghalang saya menguji kemampuan videografi peranti ini yang sudah hampir setanding dengan Samsung dan iPhone. Video di atas adalah sampel format LOG yang telah melalui pasca-proses oleh pasukan video kami bersama-sama dengan video 8K yang telah dimampatkan ke 4K. Video seterusnya adalah mod Dolby Vision atau HDR yang dirakam terus daripada peranti.

BATERI

Bateri yang disertakan ialah 5000 mAh yang kini seakan menjadi standard pada peranti mercu Android 2023. Peranti ini menyokong pengecasan pantas 90W secara berwayar yang boleh mengecas peranti sehingga penuh dalam masa 34 minit. Selain turut menyokong pengecasan nirwayar pantas 50W dan turut boleh mengecas aksesori seperti TWS melalui pengecasan nirwayar berbalik 10W.

image is not available

Dalam penggunaan saya, 13 Ultra tiada masalah untuk mencapai sehingga 14 jam penggunaan dengan 7 jam SOT jika sekadar melakukan tugasan ringan dan sekitar 5 jam SOT jika kerap menggunakan kamera serta bermain permua.

image is not available

Sejak tahun lepas mana-mana peranti mercu yang saya uji, saya tidak begitu hiraukan ketahanan bateri kerana sokongan pengecasan pantas. Pada 13 Ultra ada pula mod hibernasi yang membolehkan peranti bertahan selama 1 jam tambahan apabila bateri mencapai 1%. Ini ciri yang sangat membantu apabila saya tiada akses kepada pengecas atau powerbank kerana is sesuai untuk kegunaan kecemasan.

AUDIO

Xiaomi bekerjasama dengan Dolby bukan sahaja untuk skrin tetapi pada speaker juga untuk sistem Dolby Atmos. Tidak dinafikan yang speaker peranti ini adalah antara yang terbaik untuk sebuah peranti mercu. Ia cukup kuat, lantang, bass yang dalam, mempunyai treble yang baik serta kejelasan yang memuaskan.

Dengan menyokong Immersive sound peranti turut boleh menjadikan audio stereo lebih luas dan kedengaran seakan ciri audio spatial tanpa menggunakan aksesori tambahan. Ini membuatkan saya kerap bergantung kepada speaker peranti sahaja dan tidak menggunakan sebarang aksesori audio.

PESAING

Xiaomi 13 UltraSamsung Galaxy S23 UltraiPhone 14 Pro Max
6.73″ AMOLED LTPO, WQHD+, 120Hz, Dolby Vision, 2600 nits6.8″, Dynamic AMOLED 2X LTPO, WQHD+, 120Hz, HDR10+6.7″ Super Retina XDR OLED, FHD+, Dolby Vision, 120Hz
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy (4nm)
1x 3.36 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Apple A16 Bionic (4nm)
2 X 3.43 GHz Firestorm
4 X ? GHz Icestorm
Adreno 740Adreno 740GPU 5 Teras
12GB LPDDR5X12GB LPDRR56GB LPDDR5
512 GB UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0128/256/512/1000 GB NVMe
Kamera Utama
50 MP, 1″, f/1.9 – f/4.0, (Sudut Lebar), HyperOIS
50 MP, f/1.8, (Sudut Ultra-Lebar + Makro 5sm)
50 MP, f/1.8, (Telefoto), OIS, 3.2x zum optikal
50 MP, f/3.0, (Super Telefoto), OIS, 5x zum optikal
8K 24P
Kamera Utama
200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X Optikal)
10MP f/4.9, OIS (Telefoto 10X Optikal)
8K 30P
Kamera Utama
48 MP, f/1.8 (Sudut Lebar), OIS
12 MP, f/2.8 (Telefoto 3X Zum Optikal), OIS
12 MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
4K 60P
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/1.9
IP68IP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 90W)5000 mAh (Berwayar 45W)4323mAh (Berwayar 27W)
RM 5199 (12/512 GB)RM 5699 (12/256GB)
RM 6199 
(12/512GB)
RM 7199
 (12/1000GB)
RM 5799 (6/128GB)
RM 6299 
(6/256GB)
RM 7299 
(6/512GB)
RM 8299 
(6/1000GB)

APA DALAM KOTAK?

Berikut adalah senarai apa yang ada dalam kotak dengan setiap pembelian Xiaomi 13 Ultra;

  • 1x Xiaomi 13 Ultra.
  • 1x Kerangka pelindung plastik keras.
  • 1x Pengecas 90W.
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan.

image is not available

KESIMPULAN

Xiaomi 13 Ultra pada hemat saya adalah peranti Xiaomi yang hampir sempurna. Ini sama dengan pengalaman saya dan Effi dengan Xiaomi 13 serta Xiaomi 13 Pro sebelum ini. 13 Ultra menawarkan kemampuan kamera yang sedikit lebih baik berbanding dua peranti sebelumnya tetapi masih mengekalkan profil warna lebih kurang sama. Prestasi yang lancar, skrin yang cantik dan ultra terang, bateri yang tahan lama dengan mod hibernasi serta rekaan yang menampakkan peranti ini unik dan berbeza dengan pesaing.

image is not available

Tetapi harga jualan RM5199 untuk sebuah peranti mercu Android bukan Samsung agak mahal. Jika anda mahukan peranti dengan sensor kamera 1″ terbaik 13 Ultra jauh lebih hebat daripada Vivo X90 Pro. Bagaimana pula jika anda tidak mempunyai bajet mencapai RM5K? Cadangan saya adalah Xiaomi 13 yang kompak kerana kemampuan kamera lebih kurang sama cuma tiada sensor 1″ dan apertur boleh-ubah dan anda jimat hampir RM2000.

Pro

  • Skrin yang cantik, laju dan sangat terang.
  • Prestasi yang pantas, lancar dan mengasyikkan.
  • Kemampuan kamera yang menjadikan pengguna biasa sebagai jurukamera profesional.
  • Rekaan dan binaan peranti yang cantik dan premium.
  • Kapasiti bateri yang besar dengan sokongan pengecasan pantas.

Kontra

  • Profil warna kamera lebih kurang sama dengan Xiaomi 13 yang lebih murah.
  • Banyak ciri kamera yang mengelirukan.
  • MIUI 14 yang masih tidak setaraf versi China.

image is not available