Jika anda mempunyai pelan untuk membeli sebuah komputer riba ASUS, atau telah membeli sebuah komputer riba ASUS baru-baru ini, sekurang-kurangnya seawal 2025, ASUS Malaysia baru sahaja mengumumkan bahawa mereka kini menawarkan satu promosi baru dimana pelanggan-pelanggan mereka akan boleh mendapatkan langganan perkhidmatan storan awanan dan AI Google AI secara percuma.
Ya, jika anda telah atau akan membeli komputer ASUS Malaysia baru-baru ini, anda boleh menebus langganan perkhidmatan Google AI Plus (400GB) ataupun Google AI Pro (5TB) untuk tiga bulan secara percuma.

Anda boleh ke laman web penyenaraian ini untuk melihat jika komputer riba ASUS ROG, TUF, Vivobook, Zenbook ataupun ProArt anda boleh menebus langganan Google AI Plus ataupun Google AI Pro ini. Penyenaraian komputer riba ini dilihat merangkumi banyak model, dan menurut ASUS Malaysia, ia adalah kerana mereka yang membeli model komputer riba pada tahun 2025 juga boleh menebus perkhidmatan ini.

Untuk menebusnya, pengguna hanya perlu melancarkan aplikasi MyASUS, kemaskini aplikasi tersebut dan log masuk ke akaun pengguna ASUS ID, dan kemudian anda hanya perlu ke bahagian User Centre, dan ke pilihan Member Exclusive Coupons dimana anda akan melihat penawaran tersebut. Anda kemudiannya akan dibawa ke laman Google Gift Box, dan hanya perlu melog masuk ke akaun Google anda untuk menebus pelan percuma tersebut.

Untuk mengetahui butiran lebih lanjut mengenai penawaran ASUS Malaysia dan Google AI ini, anda boleh klik pautan ke laman web ASUS Malaysia di bawah.
Sumber: ASUS Malaysia


