Kerja hibrid, antara fleksibiliti dan produktiviti

Business & Finance
9 Sep 2026 • 11:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerja hibrid, antara fleksibiliti dan produktiviti

Oleh Mohd. Zairul Masron

Dunia pekerjaan sedang melalui perubahan yang besar. Jika dahulu, pejabat menjadi pusat utama segala urusan, kini komputer riba, telefon pintar, platform persidangan video dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan tugasan dilaksanakan dari mana-mana sahaja. Pandemik Covid-19 mempercepatkan perubahan ini, namun bekerja dari rumah dan bekerja secara hibrid kini semakin dilihat sebagai sebahagian daripada landskap pekerjaan moden.

Dasar Bekerja Hibrid yang menggabungkan kerja di pejabat dengan kerja dari lokasi lain seperti rumah, menawarkan jalan tengah antara keperluan organisasi dan kehendak pekerja.

Namun, persoalannya bukan sekadar sama ada seseorang pekerja boleh bekerja dari rumah, tetapi sama ada organisasi mempunyai dasar, teknologi, budaya kerja dan sistem pengurusan cukup matang untuk memastikan produktiviti terus terpelihara.

Antara kelebihan utama bekerja secara hibrid adalah fleksibiliti. Pekerja dapat mengurangkan masa perjalanan, mengurus urusan peribadi dengan lebih baik dan mempunyai ruang untuk menyusun tugasan mengikut keadaan yang sesuai.

Pada masa sama, hari bekerja di pejabat masih memberikan peluang untuk perbincangan bersemuka, pembinaan hubungan, bimbingan dan kerja berpasukan. Kajian eksperimen berskala besar yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada 2024 memberikan bukti penting.

Satu kajian telah dilakukan melibatkan 1,612 pekerja berkelulusan universiti di syarikat teknologi Trip.com yang bekerja dua hari dari rumah dan tiga hari di pejabat.

Hasilnya, bekerja secara hibrid mengurangkan kadar pekerja meninggalkan organisasi sebanyak satu pertiga, daripada 7.2 peratus kepada 4.8 peratus, selain meningkatkan kepuasan kerja.

Lebih menarik, kajian tersebut tidak menemukan kesan negatif terhadap prestasi kerja, termasuk penilaian prestasi, kenaikan pangkat dan produktiviti jurutera perisian.

Kajian Stanford pula mendapati, pekerja yang menghabiskan kira-kira dua hari seminggu di pejabat melaporkan keseimbangan kehidupan dan pekerjaan serta kepuasan kerja yang lebih baik, di samping berasa kurang terasing daripada rakan sekerja.

Pada masa sama, prestasi mereka tidak berbeza berbanding pekerja yang lebih banyak atau lebih sedikit berada di pejabat.

Ini menunjukkan bahawa bekerja secara hibrid bukan semestinya mengurangkan produktiviti. Sebaliknya, keberkesanannya banyak bergantung pada bagaimana ia dirancang dan dilaksanakan.

Di sebalik kelebihan tersebut, bekerja secara hibrid turut mempunyai sisi yang perlu diberi perhatian. Garisan antara waktu bekerja dengan kehidupan peribadi boleh menjadi semakin kabur. Komputer riba dibawa pulang, telefon pintar sentiasa berbunyi dan aplikasi komunikasi yang aktif sepanjang masa boleh menyebabkan pekerja merasakan mereka perlu sentiasa bersedia untuk bekerja.

Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Eurofound mendapati bahawa teknologi komunikasi boleh mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan autonomi dan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Namun pada masa sama, ia berpotensi menyebabkan waktu bekerja menjadi lebih panjang, intensiti kerja meningkat dan urusan pekerjaan bercampur dengan kehidupan peribadi.

Cabaran lain adalah komunikasi dan pembinaan budaya organisasi. Tidak semua perkara sesuai diselesaikan melalui e-mel atau mesyuarat dalam talian.

Idea spontan, proses mentoring, pembelajaran tidak formal dan hubungan interpersonal kadangkala lebih berkesan apabila berlaku secara bersemuka.

Pekerja baharu juga mungkin berhadapan kesukaran untuk memahami budaya organisasi jika terlalu banyak bekerja dari lokasi luar pejabat. Mereka kehilangan sebahagian peluang untuk belajar melalui pemerhatian, perbualan tidak formal dan interaksi secara langsung dengan rakan sekerja serta penyelia.

Hakikatnya, kejayaan dasar bekerja hibrid sangat bergantung pada penguasaan teknologi. Internet berkelajuan tinggi, sistem penyimpanan awan, platform kolaborasi digital, keselamatan siber, persidangan video dan AI telah menjadikan jarak fizikal semakin kurang penting.

Di Malaysia, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa akses Internet isi rumah mencapai 97.1 peratus pada 2025. Manakala akses kepada peralatan komputer mencapai 92.6 peratus. Angka ini menggambarkan tahap kesediaan digital masyarakat yang semakin tinggi.

Dalam masa sama, perkembangan AI menambah satu lagi dimensi kepada pekerjaan hibrid. Kajian Microsoft dan LinkedIn pada 2024 terhadap 31,000 orang di 31 negara mendapati 75 peratus pekerja berpengetahuan menggunakan AI di tempat kerja. Di Malaysia, angkanya lebih tinggi, iaitu 84 peratus.

Sebanyak 88 peratus pemimpin perniagaan Malaysia pula mengakui, organisasi mereka perlu menggunakan AI untuk kekal berdaya saing.

Namun, penguasaan teknologi bukan setakat mengetahui cara menggunakan aplikasi. Pekerja perlu memahami keselamatan data, etika penggunaan AI, pengurusan maklumat, komunikasi digital dan batas antara penggunaan teknologi secara produktif dengan kebergantungan berlebihan terhadap teknologi.

Organisasi juga perlu berhati-hati terhadap fenomena digital overload. Terlalu banyak mesyuarat dalam talian, mesej segera, notifikasi dan aplikasi boleh menghasilkan keletihan digital. Teknologi sepatutnya mengurangkan beban kerja, bukannya mencipta beban baharu.

Oleh itu, Dasar Hari Bekerja Hibrid tidak wajar dilihat sebagai dasar memberikan kebebasan kepada pekerja untuk memilih tempat bekerja semata-mata. Ia perlu dibangunkan berdasarkan jenis tugas, keperluan organisasi, tahap autonomi pekerja dan kemampuan teknologi.

Organisasi perlu menetapkan dengan jelas tugasan yang sesuai dilakukan dari rumah dan tugasan memerlukan kehadiran fizikal. Hari bekerja di pejabat pula boleh dimanfaatkan untuk aktiviti yang memerlukan kolaborasi, perbincangan strategik, latihan, mentoring dan pembinaan pasukan.

Pada masa sama, ukuran prestasi perlu berubah daripada menilai kehadiran kepada menilai hasil. Pekerja yang duduk lapan jam di pejabat belum tentu lebih produktif daripada pekerja yang menyelesaikan tugas berkualiti tinggi dalam tempoh lebih singkat dari rumah.

Organisasi perlu membina budaya berasaskan kepercayaan, akauntabiliti dan hasil kerja.

Dasar Hari Bekerja Hibrid bukan penyelesaian sempurna untuk semua organisasi dan semua jenis pekerjaan.

Namun, bukti kajian menunjukkan bahawa apabila dilaksanakan dengan baik, model ini mampu meningkatkan kepuasan pekerja.

The post Kerja hibrid, antara fleksibiliti dan produktiviti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved