ASUS ROG Xbox Ally dan ASUS ROG Xbox Ally X diperlihatkan secara rasmi hari ini dengan ia adalah konsol mudah alih pertama yang secara rasmi disokong oleh Microsoft. Konsol ini menyerupai ROG Ally X cuma dengan perbezaan terletak pada bahagian sisi dengan dua pemegang mirip alat kawalan Xbox dan butang khas untuk Xbox.

ASUS ROG Xbox Ally dilengkapi skrin 7″ FHD 120Hz dengan sokongan FreeSync Premium, dijana cip AMD Ryzen Z2 A, memori 16GB LPDDR5X-6400 RAM, storan 512GB M.2 2280 SSD dan bateri 60Wh. Terdapat 2x USB 3.2 Gen 2 Type-C dengan DisplayPort 2.1, pembaca kad UHS-II microSD dan satu bicu audio 3.5mm. Storan SSD boleh digantikan sendiri oleh pengguna.

ASUS ROG Xbox Ally X pula dilengkapi skrin 7″ FHD 120Hz dengan sokongan FreeSync Premium, dijana cip AMD Ryzen AI Z2 Extreme, memori 24GB LPDDR5X-8000 RAM, storan 1TB M.2 2280 SSD dan bateri 80Wh. Terdapat 1x USB-Thunderbolt 4, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C dengan DP 2.1, pembaca kad UHS-II microSD dan satu bicu audio 3.5mm. Storan SSD juga boleh digantikan sendiri oleh pengguna.

Kedua-duanya menggunakan sistem operasi Windows 11 yang ditala khusus untuk konsol mudah alih dan juga Xbox Experience for Handheld yang menjadikan pengalaman penggunanya lebih baik. Selain pemainan Xbox, kedua-dua ROG Xbox Ally juga menyokong stor permainan lain seperti Steam dan Battle.net. Kerana ia sebuah produk Microsoft, ciri Gaming Copilot juga boleh diakses menggunakan Game Bar.
Konsol Xbox mudah alih ini akan dilancarkan dahulu pada penghujung 2025 di Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia, Belgium, Canada, Denmark, Emiriah Arab Bersatu, Finland, France, Germany, Ireland, Itali, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Norway, Belanda, Poland, Portugal, Singapura, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Thailand, Turki, dan United Kingdom.
Microsoft mengatakan ia kemudiannya akan memasuki pasaran di mana ROG Ally sudahpun dijual seperti Malaysia. Harga belum diumumkan pada ketika ini.



