ASUS ROG Xbox Ally dan ROG Xbox Ally X yang dilancarkan awal pagi tadi hadir dengan antarmuka penuh Xbox. Menerusinya konsol akan dibut terus ke antaramuka khusus seakan konsol Xbox tanpa perlu melihat antaramuka standard Windows 11. Ini akan mengurangkan penggunaan RAM sehingga 2GB dan menjadikan pengalaman penggunaan lebih mirip sebuah konsol.

Kini menurut jurucakap Microsoft, antaramuka penuh Xbox turut diberikan kepada kesemua konsol mudah alih Windows 11 yang telah dilancarkan sebelum ini. Ia akan bermula dengan ROG Ally dan ROG Ally X terlebih dahulu bermula tahun depan. Pengenalan ciri ini adalah bagi memberikan persaingan kepada SteamOS yang kini boleh digunakan pada konsol mudah alih yang sebelum ini menggunakan Windows 11.
Dengan Valve bertekad menyokong lebih banyak konsol selain Steamdeck, Microsoft tidak boleh membiarkan sistem operasi mereka dicabar. Antaramuka Xbox bukan sahaja memberikan pengalaman seakan konsol, tetapi membolehkan pemilik mengakses perkhidmatan PC Game Pass dan memuat turun permainan PC menerusi stor permainan pihak ketiga seperti Battle.net dan juga Steam.
ASUS ROG Xbox Ally dan ROG Xbox Ally X akan dijual pada penghujung tahun ini dengan ia akan memasuki pasaran ASUS menjual ROG Ally seperti Malaysia.
