
ASUS baru sahaja memperkenalkan komputer riba baharu untuk pasaran Malaysia melalui model ASUS TUF Gaming A14 (2026) dengan harga RM7,599. Model ini dipasarkan sebagai komputer riba gaming yang menggabungkan rekaan ringan dengan prestasi berkuasa tinggi berasaskan AI.

ASUS TUF Gaming A14 (2026) hadir dengan skrin bersaiz 14 inci dan berat hanya 1.48kg menjadikannya mudah dibawa ke mana sahaja tanpa mengorbankan prestasi. Paparan ini menawarkan resolusi 2.5K dengan nisbah aspek 16:10, liputan warna penuh sRGB 100% serta kadar segar semula 165Hz untuk pengalaman visual yang tajam dan lancar.


Ia dipadankan dengan CPU AMD Ryzen AI MAX+ 392 bersama AMD XDNA NPU yang mampu mencapai sehingga 50 TOPS untuk memastikannya sesuai untuk tugasan berat dan aplikasi berasaskan AI. GPU pula menggunakan AMD Radeon 8060S Graphics, manakala sistem operasi yang digunakan ialah Windows 11 Home. Untuk memori, komputer riba ini dilengkapi dengan 32GB LPDDR5X 8533 yang dipasang terus pada papan induk bersama storan 1TB PCIe 4.0 NVMe M.2 SSD.

ASUS TUF Gaming A14 (2026) turut dilengkapi dengan beberapa ciri tambahan yang melengkapkan pengalaman penggunaan harian. Ia hadir dengan papan kekunci yang mempunyai lampu belakang putih sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Dari segi audio, sistem Dolby Atmos Hi-Res Audio digabungkan dengan sokongan pembatalan hingar AI dua hala.

Selain itu, komputer riba ini menyokong sambungan WiFi 6E yang lebih pantas manakala pilihan I/O pula menyediakan port USB4 (DisplayPort/Power Delivery), USB 3.2 Gen 2 Type-C, port USB 3.2 Gen 2 Type-A, HDMI 2.1, pembaca kad mikro SD (UHS II), serta bicu audio. Keseluruhan pakej ini dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 73Wh yang menjanjikan ketahanan penggunaan lebih lama.


