
SIAPA kata jadi wanita itu mudah? Saban hari, kita sibuk menggalas pelbagai peranan, daripada urusan kerjaya, rumah tangga sehinggalah soal menjaga penampilan diri.
Bercakap soal penampilan, isu berat badan sering kali menjadi topik sensitif yang ligat berputar dalam fikiran ramai wanita.
Menyedari belenggu dan tekanan mental yang kerap dihadapi kaum hawa, tiga pesona seni tanah air iaitu Siti Nordiana, Diana Danielle, dan Shila Amzah tampil membuka mulut.
Mereka kini bekerjasama dengan platform telekesihatan OVA menerusi kempen 'With OVA' demi mengubah persepsi masyarakat bahawa isu berat badan sebenarnya jauh lebih kompleks daripada sekadar kurangnya azam diri.
Isu tersebut sebenarnya sangat kritikal memandangkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mendedahkan sebanyak 54.4 peratus wanita Malaysia kini diklasifikasikan sebagai berlebihan berat badan.
Lebih merisaukan, berat badan berlebihan ini berkait rapat dengan risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi. Malangnya, ramai yang masih tersalah mengklasifikasikan status kesihatan kendiri, sekali gus melambatkan proses mendapatkan bantuan yang betul.
Bagi penyanyi versatil, Siti Nordiana atau Nana, fasa kematangan hidup mengajar beliau tentang realiti sebenar tubuh seorang wanita.
Sebagai ibu tunggal dan anak seni, kesibukan harian kadangkala memberi kesan langsung kepada fizikalnya.
"Kehidupan mengubah kita semua. Kehidupan sebagai ibu, kerjaya, tekanan, dan pelbagai peranan yang kita galas sebagai wanita semuanya meninggalkan kesan.
"Saya berharap kempen ini dapat membantu lebih ramai wanita menyedari bahawa berat badan adalah lebih daripada sekadar kehendak diri dan memberikan mereka keyakinan untuk menjaga kesihatan mereka mengikut acuan sendiri," ujarnya.
Nada yang sama turut dikongsi oleh pelakon jelita, Diana Danielle yang tidak menafikan cabaran membesar di bawah lensa kamera masyarakat sejak kecil.

menguruskan berat badan
Menguruskan jangkaan umum mengenai bentuk fizikal bukanlah satu perkara yang mudah.
"Membesar dalam perhatian masyarakat bermakna setiap fasa kehidupan saya dapat dilihat umum. Selama bertahun-tahun, berat badan saya berubah-ubah, dan perubahan itu sering menjadi topik perbualan di sekeliling saya.
"Seperti kebanyakan wanita lain, saya juga melalui tempoh di mana saya bergelut untuk menguruskan berat badan dan tertanya-tanya mengapa sesuatu yang kelihatan begitu mudah boleh terasa sangat sukar, ujarnya lagi.
Bagi Shila Amzah pula, kehadiran cahaya mata nyata mengubah seluruh paksi hidupnya, termasuk cara beliau memandang soal kesihatan diri. Fokusnya kini adalah untuk terus bertenaga demi melihat anak-anak membesar. Menurut Shila,
"Kesihatan sentiasa menjadi keutamaan saya, tetapi menjadi seorang ibu telah mengubah segala-galanya. Ia membuatkan saya berfikir secara berbeza tentang masa depan saya dan kepentingan untuk sentiasa kekal sihat demi anak-anak saya.

"Saya tahu ramai ibu di luar sana melalui pengalaman yang sama, dan memahami betapa fasa keibuan, tekanan, serta peringkat kehidupan yang berbeza boleh mengubah tubuh badan kita," ungkap ibu kepada sepasang cahaya mata itu.
Melalui perkongsian berkenaan, mereka berharap perbualan mengenai berat badan di Malaysia beralih daripada aspek rupa paras kepada fokus kesihatan yang sebenar.
Kehadiran platform digital seperti OVA sekadar menjadi ruang alternatif yang memudahkan wanita untuk mendapatkan nasihat doktor secara dalam talian mengikut keselesaan tersendiri.
Apa yang paling penting, wanita perlu berhenti menyalahkan diri sendiri dan mula mengambil langkah proaktif demi kesejahteraan jangka masa panjang.

