
HUBUNGAN antara ayah dan anak lelaki kadangkala menyimpan seribu satu cerita yang tersirat.
Ada masanya, kasih sayang itu tidak terluah dengan kata-kata romantis, melainkan dibuktikan melalui pengorbanan dan doa yang panjang di tikar sejadah.
Perasaan tersentuh itu turut dirasai oleh usahawan, Asyraf Khalid selepas menonton perkongsian pelakon dan penerbit, Aedy Ashraf yang menceritakan tentang kisah bapanya menerusi sebuah audio siar.
Mempunyai ikatan memori tersendiri, Asyraf mendedahkan bahawa bapa Aedy rupa-rupanya individu yang sangat rapat dengan keluarganya suatu ketika dahulu.
Malah, lelaki berkenaan merupakan insan yang diamanahkan untuk menjaga dirinya bersama abang, Adib Khalid ketika mereka masih di usia kanak-kanak.
Dedah Asyraf, bapa pelakon itu menjalankan tanggungjawab itu dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan.

“Semalam saya tengok Aedy bercerita dalam podcast tentang bapanya. Dan saya rasa sesuatu yang tak ramai orang akan faham, sebab saya kenal bapanya.
"Bapa Aedy pernah jaga saya dan abang saya Adib masa kami kecil. Ayah percayakan dia dengan anak-anaknya.
"Dan dia jaga kami dengan sepenuh hati,” kongsinya menerusi aplikasi Threads.
Mendengar bait bicara Aedy mengenai bapanya, Asyraf menyifatkan ia sebagai sebuah naskhah kehidupan yang sangat menginspirasikan.
Kisah tersebut membuktikan bagaimana seorang lelaki yang pernah tersasar daripada landasan hidup dan dipandang sepi oleh masyarakat, akhirnya mampu bangkit untuk membina semula jati diri demi masa depan.
Bagi Asyraf, biarpun masa lalu bapa aktor berkenaan agak mencabar, namun tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga tidak pernah diabaikan selepas dibebaskan.
Peminat setia
Sepanjang proses membina semula kehidupan secara senyap, bapa Aedy sering kali menzahirkan rasa bangga terhadap anaknya itu kepada sesiapa sahaja yang ditemui.
“Dalam podcast tu Aedy cerita tentang bapanya, seorang lelaki yang pernah tersasar jauh dalam hidup, yang pernah dipenjarakan, yang masyarakat dah ‘write off’. Tapi bila dia keluar, dia tak lari dari tanggungjawab.
"Dia rebuild dirinya dengan senyap. Dia khidmat orang lain dengan penuh amanah. Dan sepanjang tu, dia selalu sebut nama anaknya kepada sesiapa yang dia jumpa. Dia bangga. Itulah cara dia.
"Lelaki dari generasi tu kadang-kadang tak tahu nak cakap terus pada anaknya yang dia sayang. Tapi dia akan cakap pada orang lain. Itu cara dia cakap I love you,” ujarnya lagi.
Mengimbau kenangan lalu, Asyraf secara berseloroh mengakui dia sebenarnya merupakan peminat setia Aedy sejak kecil lagi.

Malah, timbul rasa bangga dalam dirinya apabila mengetahui lelaki yang menjaganya sewaktu kecil rupa-rupanya merupakan bapa kepada seorang pelakon berbakat besar.
Kini, selepas melihat kejayaan luar biasa yang ditempa oleh pemilik nama sebenar, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi menerusi filem Tarung: Unforgiven yang berjaya mengutip RM10.5 juta dalam tempoh seminggu, Asyraf sempat menitipkan ucapan tahniah.
Malah, dia amat percaya kejayaan manis ini pastinya menjadi kebanggaan terbesar buat insan bergelar bapa.
“Sekarang Aedy bukan sekadar pelakon, dia film producer, dan Tarung: Unforgiven dah cecah RM10.5 juta dalam masa seminggu, nombor satu box office Malaysia.
"Aedy, tahniah. Trust me, your father is watching all of this with eyes full of pride. Kadang-kadang lelaki yang pernah paling jauh tersasar, adalah bapa yang paling dalam doanya untuk anaknya berjaya,” katanya lagi meluahkan rasa kagum.
