Asyraf Wajdi berang, pelajar MRSM dihidang ayam kicap ‘mentah’

23 Nov 2026 • 11:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Asyraf Wajdi berang, pelajar MRSM dihidang ayam kicap ‘mentah’

PETALING JAYA – Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka mendakwa dihidangkan menu ayam kicap yang dimasak secara tidak sempurna ketika makan malam di dewan selera institusi pendidikan tersebut, hari ini.

Masalah itu diadukan beberapa pelajar dan ibu bapa kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang kemudiannya berkongsi perkara tersebut di media sosialnya berserta beberapa keping gambar sebagai bukti.

“Saya cukup marah dan amat terkesan apabila membaca WhatsApp dan mesej peribadi di ruangan media sosial sebentar tadi.

“Ada beberapa pelajar dan ibu bapa dari MRSM Tun Ghafar Baba yang hubungi saya mengadu berkenaan penyediaan makanan di dewan selera petang tadi tidak memuaskan kerana ada ayam yang tidak dimasak dengan sempurna,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Berkongsi laporan awal kejadian itu, beliau berkata, pada pukul 6.40 petang, hidangan ayam masak kicap telah habis menyebabkan ada yang pelajar terpaksa menunggu sehingga pukul 7.10 malam untuk mendapatkan makanan yang dimasak semula.

“Walau bagaimanapun, ayam masak kicap yang disediakan semula didapati tidak dimasak dengan sempurna.

“Pihak dewan selera menggantikan dengan yang lain, manakala pihak kami akan memberikan makanan gantian kepada pelajar yang terjejas,” katanya.

Asyraf Wajdi turut meminta pihak pengurusan melakukan semakan sebelum mendapati kontrak penyedia makanan hanya berbaki sebulan lagi.

“Macam satu ‘trend’ apabila kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.

“Saya amat kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Saya meminta pengetua supaya segera siasat dan ambil tindakan tegas malam ini juga.

“Kasihan anak-anak pelajar, bukan ramai yang berkemampuan untuk membeli makanan di kafe atau koperasi. Apatah lagi pelajar tingkatan lima yang sedang menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, beberapa minggu lalu, beliau menerjah MRSM tersebut dan memberi amaran kepada penyelia dewan selera supaya memastikan kualiti makanan menepati piawai yang ditetapkan oleh Mara.

“Soal kebajikan pelajar saya tidak boleh tolak ansur, malah kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitam daripada mendapat sebarang manfaat Mara pada masa akan datang.

“Ingatlah keuntungan diperoleh daripada hasil yang curang dan menyimpang tidak akan pernah punya keberkatan, malah menjadi asbab kepada kecelaruan dan kesengsaraan hidup berterusan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Asyraf Wajdi berang, pelajar MRSM dihidang ayam kicap ‘mentah’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved