Ayam tidak masak sempurna, Mara siasat kontraktor makanan MRSM Tun Ghafar Baba

23 Nov 2026 • 9:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ayam tidak masak sempurna, Mara siasat kontraktor makanan MRSM Tun Ghafar Baba
Gambar yang dikongsikan pelajar MRSM Tun Ghafar Baba kepada Asyraf Wajdi.

SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan pengurusan institusi itu menyiasat segera aduan berhubung penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba.

Beliau berkata, aduan diterima daripada beberapa pelajar dan ibu bapa yang mendakwa terdapat ayam tidak dimasak dengan sempurna dalam hidangan yang disediakan pada petang Ahad.

Menurutnya, hasil semakan awal mendapati kontrak penyedia makanan di MRSM berkenaan hanya berbaki sebulan sebelum tamat tempoh.

"Sudah semacam satu trend apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.

"Saya amat kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini.

"Saya sudah minta pengetua segera siasat dan ambil tindakan tegas malam ini juga," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau menegaskan, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana kebajikan pelajar perlu diberi keutamaan, terutama mereka yang tidak berkemampuan membeli makanan alternatif di kafe atau koperasi.

Malah ujarnya, pelajar Tingkatan Lima yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut terkesan sekiranya kualiti makanan yang disediakan tidak memenuhi piawaian ditetapkan.

"Baru beberapa minggu lepas saya melakukan terjah di MRSM ini dan beri amaran kepada Penyelia Dewan Selera agar pastikan kualiti makanan yang disediakan menepati piawai yang Mara tetapkan.

"Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur. Kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitam daripada mendapat apa-apa manfaat daripada Mara pada masa akan datang.

"Ingatlah keuntungan yang diperolehi daripada hasil yang curang dan menyimpang tidak akan pernah punya keberkatan, malah menjadi asbab kepada kecelaruan dan kesengsaraan hidup berterusan," ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved