
Asyraf Wajdi Perjelas Sebab Lantik Bekas Tentera Jadi Warden Sepenuh Masa Di MRSM
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyatakan pendekatan melantik bekas anggota tentera atau polis sebagai warden asrama merupakan langkah terbaik.
Sebaliknya, katanya, cadangan itu dibuat selepas melihat keperluan mendesak untuk menangani isu buli yang semakin serius sejak kebelakangan ini, menerusi penempatan warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Saya tidak pernah mengatakan bahawa pendekatan memilih bekas anggota tentera atau polis sebagai warden asrama itu terbaik.
“Cuma, MARA melihat ada keperluan mendesak untuk tangani buli yang makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dengan mewujudkan warden sepenuh masa,” tegas beliau.
Menurut Asyraf Wajdi, cadangan melantik bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa timbul selepas MARA menerima banyak aduan daripada guru MRSM yang terbeban dengan tanggungjawab sedia ada.
“Saya cadang warden sepenuh masa di kalangan bekas tentera kerana ramai guru MRSM mengadu terbeban untuk berjaga lebih 12 malam ’round’ asrama kemudian sambung pula seawal 7 pagi ke kelas. Buli tidak berlaku sebelum 12 malam,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menghuraikan beberapa rasional di sebalik cadangan tersebut, antaranya:
1. Guru MRSM ramai mengadu bahawa mereka sudah cukup terbeban dengan tugas hakiki untuk mengajar.
2. Guru MRSM yang bertugas sebagai Warden tidak akan mampu berjaga setiap malam dan melakukan pemantauan di asrama. Paling lama pun pukul 12 tengah malam kerana mereka perlu berada di Maktab seawal 6.30 pagi keesokannya.
3. Aktiviti tidak bermoral seperti BULI lazimnya tidak berlaku sebelum pukul 12 tengah malam atau waktu akademik. Sebab itulah ketiadaan warden yang memantau secara berterusan pada waktu-waktu berisiko seperti ini membuka ruang untuk BULI berlaku.
4. Elaun yang kecil sekadar RM300 tambahan sebagai Warden tidak berbaloi dengan tanggungjawab tambahan yang terpaksa digalas oleh guru.
5. Lebih berkesan jika Warden yang bertugas sepenuh masa di asrama dilantik untuk memfokuskan pembangunan disiplin dan sahsiah pelajar di luar waktu akademik bermula 6 atau 7 petang.
Mengulas lanjut, beliau berkata maklum balas seperti itu diperoleh hasil daripada lawatan #Terjah yang sering beliau lakukan ke institusi pendidikan di bawah MARA, termasuk MRSM.
“Jika saya memilih untuk hanya mempengerusikan Majlis MARA dan membuat satu-satu polisi atau dasar dari bilik berhawa dingin, mana mungkin saya dapat menyelami dan memahami situasi dan kondisi sebenar di bawah dan akar umbi,” tambahnya.
Lantikan bekas tentera, polis masih dalam tempoh penilaian
Bagaimanapun, Asyraf menambah, pelaksanaan ini masih berada di peringkat percubaan (rintis) dan penilaian terhadap keberkesanan pelantikan bekas anggota tentera sebagai warden sedang dijalankan.
“Adalah terlalu pra-matang untuk saya mengulas keberkesanan perlantikan warden dikalangan bekas tentera atau pasukan beruniform lain.
“Biarlah program rintis yang sedang berjalan dan masuk bulan ketiga di beberapa MRSM selesai dalam tempoh 6 bulan tempoh penilaian.
“Selepas 6 bulan, pasukan penyelidik yang merupakan pihak ketiga dan bebas daripada UPM akan membuat penilaian dan penyelidikan mengenai inisiatif MARA ini,” ujar beliau.
Beliau turut memberi jaminan bahawa hasil kajian itu, sama ada positif atau negatif, akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri bertanggungjawab terhadap MARA sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Sumber: DR ASYRAF WAJDI DUSUKI/FB
The post Asyraf Wajdi Perjelas Sebab Lantik Bekas Tentera Jadi Warden Sepenuh Masa Di MRSM appeared first on Siakap Keli.


