
Guru Lebih Sesuai Jadi Warden Sekolah Berasrama Penuh – KPM
Pelantikan warden dalam kalangan guru dilihat lebih sesuai bagi sekolah berasrama penuh di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), berbanding menggunakan khidmat pesara tentera atau polis.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pemilihan guru sebagai warden diyakini dapat meningkatkan kepercayaan serta penerimaan dalam kalangan murid dan ibu bapa.
“Soal pelantikan ini suka kami menyatakan, warden di asrama penuh memainkan satu peranan bukan sebagai penjaga semata-mata, tapi juga sebagai loco parentis yang dapat memberi bimbingan pendidikan, disiplin dan pembentukan sahsiah murid.
“Pelantikan warden dalam kalangan guru juga diyakini dapat meningkatkan kepercayaan serta penerimaan murid dan ibu bapa,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, yang meminta penjelasan mengenai langkah-langkah menangani kes buli di sekolah serta tindakan terhadap pentadbiran sekolah yang cuai.
Dalam pada itu, Wong turut memaklumkan bahawa nisbah warden ditingkatkan kepada tiga orang bagi setiap 50 murid sebagai usaha memperkukuh pemantauan dan mencegah kejadian buli di asrama.
Dengan peningkatan itu, jumlah keseluruhan warden kini bertambah 68.5 peratus atau sebanyak 10,204 orang pada tahun ini berbanding hanya 6,055 orang pada tahun 2022.
Sumber: Astro Awani
The post Guru Lebih Sesuai Jadi Warden Sekolah Berasrama Penuh – KPM appeared first on Siakap Keli.



