Asyraf Wajdi sambung khidmat sebagai Pengerusi Mara

LocalPolitics
17 Feb 2025 • 12:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Asyraf Wajdi (kanan) menerima watikah pelantikan daripada Ahmad Zahid.

SHAH ALAM - Khidmat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) disambung bagi tempoh dua tahun lagi bermula 1 Mac 2025.

Pelantikan itu disahkan selepas beliau menerima watikah daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurut Asyraf Wajdi, beliau berikrar melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin dengan penuh jujur dan amanah.

"Pesanan Datuk Seri Zahid, 'Asyraf, Mara adalah institusi orang Melayu-Bumiputera, perkasakan Mara untuk terus martabatkan agenda pendidikan dan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera'.

"Insya-ALLAH tanggungjawab yang digalaskan ini akan saya laksanakan sebaik mungkin dengan penuh jujur dan amanah kerana ia bukan satu bentuk kemasyhuran (tasyrif) tetapi beban tanggungjawab besar (taklif) yang akan dipersoalkan ALLAH SWT di akhirat kelak.

"Mohon rakan-rakan doakan saya agar dipermudahkan untuk melaksanakan amanah bangsa dan agama ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Asyraf Wajdi mula memegang jawatan sebagai Pengerusi Mara setelah dilantik pada Mac 2023.

Jawatan tersebut sebelum itu disandang oleh Datuk Azizah Mohd Dun.