Yakin Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ke-5 - Setiausaha ASEAN

LocalPolitics
14 Feb 2025 • 7:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Malaysia, yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015, secara rasmi mengambil alih peranan itu bagi 2025. Foto hiasan

JAKARTA - Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn menyatakan keyakinannya terhadap kepemimpinan Malaysia dalam blok serantau itu pada 2025, yang menandakan kali kelima negara ini memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN.

Beliau menyatakan perkara itu dalam pertemuan dengan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Ambassador Datin Sarah Al Bakri Devadason di Ibu Pejabat ASEAN pada Jumaat, menurut Sekretariat ASEAN.

Perbincangan tertumpu kepada keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, termasuk perkembangan permohonan keanggotaan Timor-Leste serta isu serantau lain.

Kao menegaskan sokongan penuh Sekretariat ASEAN terhadap usaha ASEAN, khususnya Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN.

Malaysia, yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015, secara rasmi mengambil alih peranan itu bagi 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kelestarian,” dengan lebih 300 mesyuarat dan program dirancang sepanjang tahun.

Acara utama pertama di bawah kepengerusian Malaysia, Permukiman Menteri Luar ASEAN, telah diadakan pada 19 Januari di Langkawi, Malaysia, dengan Menteri Luar Timor-Leste, Bendito Freitas menghadiri sebagai pemerhati.

Keutamaan Malaysia bagi Pengerusian ASEAN 2025 termasuk memperkukuh Kesentralan ASEAN, membina kepercayaan melalui dialog, diplomasi dan muhibah serta memperluas perkongsian ekonomi di luar sempadan ASEAN.

Malaysia juga berhasrat untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang lebih besar, dengan penekanan kepada kemajuan dalam sains, teknologi, inovasi dan transformasi digital.

Selaras dengan temanya, Malaysia akan memberi tumpuan kepada keterangkuman dan kelestarian, menangani jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup serta memerangi perubahan iklim bagi membina sebuah komuniti serantau yang lebih kukuh. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved