Asyraf Wajdi serah notis saman RM1 juta kepada Papagomo

LocalPolitics
9 Jul 2025 • 5:24 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini memaklumkan bahawa pasukan guamannya telah menyerahkan Notis Tuntutan Saman kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, atas dakwaan menyebarkan fitnah terhadap beliau.

Menurut Asyraf, notis tersebut telah diserahkan secara rasmi di kediaman individu terbabit pada jam 2.15 petang tadi.

“Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap individu perlu bertanggungjawab atas apa yang disebarkan, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

“Kalaupun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah,” tegasnya.

Terdahulu, Asyraf menafikan dakwaan Papagomo yang mendakwa kononnya beliau mengagihkan tender makan dan projek-projek MRSM kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan menggunakan duit MARA untuk beli lembu korban di Gerik.

Asyraf menyifatkan tuduhan berkenaan sangat melampau dan akan mengambil tindakan undang-undang dengan menuntut saman RM1 juta.