Asyraf Wajdi tegur konvokesyen UniKL ala konsert

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 11:58 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Asyraf Wajdi tegur konvokesyen UniKL ala konsert

PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegur penganjuran Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang berkonsepkan hiburan ala konsert kerana dianggap tidak wajar dan tidak beradab.

Menerusi perkongsiannya di media sosial, beliau berkata, majlis konvokesyen merupakan upacara kemuncak pengiktirafan dan pemartabatan ilmu yang perlu dipelihara nilai kesopanan serta adabnya.

“Memang amat tidak wajar dan tidak beradab untuk memasukkan hiburan ala konsert dalam Majlis Istiadat Konvokesyen yang merupakan upacara kemuncak pengiktirafan dan pemartabatan ilmu,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya nyanyian atau persembahan artis jemputan ingin diadakan ketika waktu rehat, pemilihan lagu, pakaian serta konsep persembahan mestilah bersesuaian dengan majlis berkenaan.

Susulan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah, pengurusan Mara dan UniKL supaya mengambil tindakan serius berhubung perkara tersebut.

Katanya, penambahbaikan segera perlu dilakukan terhadap kod etika dan adab penganjuran majlis konvokesyen di semua institusi pendidikan di bawah Mara.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa ilmu bukan sekadar proses memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran, sebaliknya turut membabitkan pembentukan adab serta keperibadian seseorang.

“Saya ingin tekankan bahawa ilmu bukan sekadar proses memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran, tetapi lebih daripada itu, ia adalah proses pembentukan adab, penyemaian nilai dan pembinaan keperibadian insan.

“Tentu sekali Majlis Konvokesyen adalah manifestasi ilmu dan adab yang perlu dipelihara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telah memanggil Naib Canselor UniKL dan Ketua Pengarah Mara untuk membentangkan tindakan yang bakal diambil pada Isnin ini.

Pertemuan itu bertujuan membincangkan langkah penambahbaikan bagi memastikan penganjuran majlis istiadat konvokesyen universiti dan institusi pendidikan Mara pada masa depan lebih bersesuaian. – KOSMO! ONLINE

The post Asyraf Wajdi tegur konvokesyen UniKL ala konsert appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved