
PETALING JAYA: Kod etika dan adab penganjuran majlis istiadat konvokesyen di semua institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu ditambah baik segera susulan isu persembahan hiburan ala konsert pada konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) baru-baru ini.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan persembahan hiburan sedemikian sebagai amat tidak wajar dan tidak beradab memandangkan majlis istiadat konvokesyen merupakan upacara kemuncak pengiktirafan dan pemartabatan ilmu.
Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah dan pengurusan Mara serta UniKL supaya mengambil tindakan serius berhubung perkara itu.
“Kalaupun hendak ada nyanyian dan persembahan artis jemputan di waktu sela masa rehat, pemilihan lagu, pakaian dan orientasi persembahan mestilah bersesuaian dengan majlis istiadat ini.
“Saya ingin tekankan ilmu bukan sekadar proses memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran tetapi lebih daripada itu, ia adalah proses pembentukan adab, penyemaian nilai dan pembinaan keperibadian insan.
“Tentu sekali Majlis Konvokesyen adalah manifestasi ilmu dan adab yang perlu dipelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Naib Canselor UniKL dan Ketua Pengarah Mara dipanggil Isnin ini bagi membentangkan tindakan yang bakal diambil untuk menambah baik penganjuran majlis istiadat konvokesyen universiti berkenaan serta institusi pendidikan lain di bawah Mara pada masa hadapan.
Sebelum ini, beberapa persembahan artis sempena konvokesyen UniKL tular selepas dikongsikan menerusi akaun rasmi TikTok dan Facebook universiti itu, antaranya melibatkan penyanyi Wani Kayrie serta kumpulan Bunkface dan K.O.I. (Konflict of Interest).
Konvokesyen UniKL Ke-23 yang berlangsung selama enam hari bermula 21 November lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) meraikan seramai 8,147 graduan menerusi 11 sesi. – UTUSAN
The post Mara arah kod etika konvokesyen ditambah baik segera appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] UniKL mohon maaf isu persembahan hiburan ketika konvokesyen](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-28-at-15.57.45-1024x682.jpeg)

