Dalam sejarah konsol, Atari 7800 bukanlah antara yang terbaik pernah dihasilkan. Dilancarkan pada tahun 1986 ia hanya ditawarkan sehingga 1992 dengan hanya 3.77 juta unit berjaya dijual. Sungguhpun begitu ia tidak menghalang Atari untuk melancarkan versi model konsol ini menerusi Atari 7800+.

Atari 7800+ yang dikemaskini boleh memainkan katrij asal permainan 7800 dan juga Atari 2600. Ia turut boleh disambungkan kepada TV menggunakan kabel HDMI serta menyokong mod paparan nisbah skrin 4:3 serta 16:9 mengikut kehendak pemilik. Penambahbaikan lain ialah alat kawalan CX78+ berfungsi secara nirwayar. Terdapat dua port di hadapan membolehkan alat kawalan asal Atari 7800 digunakan.
Bagi yang berminat Atari 7800+ dijual pada harga $130 (~RM570) sebuah dengan permainan Bentley Bear’s Crystal Quest dan satu alat kawalan CX78+ disertakan dengan setiap pembelian.
