Penggunaan Windows 11 apabila dilancarkan pada tahun 2021 tidak menerima sambutan yang baik. Lebih-lebih lagi di kalangan pengguna yang aktif bermain permainan video. Pada tahun lepas sebanyak 68.86% masih menggunakan Windows 10, sementara Windows 11 hanya 18.12%. Baru-baru ini, ia telah berubah kerana penggunaan Windows 11 semakin meningkat.

Data ini adalah daripada kajian oleh Statcounter. Menurut mereka, setakat Julai 2024 jumlah peranti Windows 11 aktif kini mencapai 30.82%. Windows 10 pula menurun kepada 65%. Perubahan ini mungkin kerana penawaran ciri AI generatif seperti Copilot dan Cocreator. Buat masa ini masih tidak pasti jika laptop Windows Copilot+ PC dengan siri cip Snapdragon X akan menarik perhatian lebih ramai orang untuk menggunakan Windows.

Dengan Microsoft kembali menyokong Windows 10 melalui kemas kini berbayar ESU, jumlah penggunaan peranti dengan sistem operasi ini dijangka akan kekal tinggi. Platform lain seperti Windows 7 masih mempunyai 3.04% yang aktif, Windows 8.1 dengan 0.42%, Windows XP dengan 0.38% dan Windows 8 pula dengan 0.24%. Anda menggunakan komputer dengan Windows yang mana?





