Atlet berbasikal negara raih emas kejohanan trek remaja Asia

21 Jun 2022 • 11:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Pelumba pelapis pasukan trek negara, Nyo Ci Hui, memperagakan kayuhan bertenaga untuk meraih emas dalam acara scratch wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Asia ke-28 di New Delhi, hari ini.

Pelumba kelahiran Perak berusia 18 tahun itu berjaya mengetepikan cabaran daripada lapan pelumba lain untuk muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam perlumbaan sejauh 7.5 kilometer (km) di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi.

Dalam saingan 30 pusingan itu, pelumba Jepun, Mizuki Ikeda, meraih pingat perak manakala pingat gangsa menjadi milik pelumba Uzbekistan, Sofiya Karimova.

“Seluruh pasukan berasa sangat gembira dengan pencapaian Nyo kerana kegigihan beliau menjalani latihan dan pada masa yang sama perlu membahagikan masa untuk menduduki peperiksaan SPM yang lepas,” kata pengurus pasukan Mohd Saiful Abdul Jalil ketika dihubungi.

Sementara itu, Yong Ann Tung turut menaiki podium selepas mengatasi pelumba senegara Azwa Nabila Abdullah untuk merebut pingat gangsa dalam acara pecut remaja.

Emas menjadi rebutan pelumba Korea Selatan apabila Na Yunseo mengecewakan Kim Chaeyeon.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved