Atlet Kayak Kebangsaan Ditidurkan, Suspek Mengaku Tak Bersalah

16 May 2024 • 3:34 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam kita mendapat perkhabaran kurang senang berkenaan salah seorang atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah yang terlibat dengan kemalangan ngeri di mana dia diseret sejauh 600m oleh kereta yang dipandu oleh individu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut laporan Buletin TV3, atlet berusia 22 tahun itu ditidurkan selepas menjalani pembedahan selama 5 jam di sebuah hospital swasta.

Pegawai Eksekutif Persatuan Kanu Malaysia, Shafinas Osman memberitahu pembedahan tersebut berjalan dengan lancar dan bahagian pelvis kiri serta kanan dipasang plate.

“Skru turut dipasang di bahagian kaki kirinya serta tulang bahu kanan berdekatan dengan tulang selangka yang patah turut dipasang skru.

Tapi ketika ini Siti ditidurkan. Saya dimaklumkan bahagian belakangnya tak cukup kulit untuk menampung bahagian yang diseret itu,” katanya.

Dalam pada itu, suspek yang merupakan pembantu penyelia kilang didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan.

Tertuduh, R Dhinesh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 dengan lesen memandu dibatalkan serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu maksimum tujuh tahun daripada tarikh sabitan, selain lesen memandu percubaan dibatalkan, jika ada.

Sumber: Buletin TV3

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.