
Atlet Thailand Berusia 105 Tahun Raih Pingat Emas Acara Lari Pecut
Seorang atlet veteran dari Thailand, Sawang Janpram, 105, mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter.
Kejayaan itu diraih dalam kejohanan World Masters Games di Taipei, dengan catatan masa 38.55 saat. Beliau juga merupakan satu-satunya peserta dalam kategori umur 100 tahun ke atas.
Sebenarnya, kejayaan beliau umpama “menang tanpa bertanding”, tetapi beliau tetap diraikan kerana ia sesuatu yang jauh lebih mengagumkan jika dilihat dengan usianya yang luar biasa.
Mula bersukan sejak 90 tahun
Sawang pernah bergelar guru besar dan juga penanam durian sebelum mula menceburi dunia sukan ketika usianya sudah menjangkau 90 tahun.
Dorongan untuk aktif datang daripada rasa takutnya kehilangan keupayaan bergerak, selain sokongan daripada anak perempuannya.
Kini, selepas 15 tahun bergiat aktif dalam sukan Masters, beliau telah berjaya mengumpul lebih daripada 60 pingat daripada pelbagai acara.
Kemenangan terbarunya di Taipei termasuk pingat emas dalam acara lembing, cakera dan lontar peluru.

Bapa borek, anak rintik
Anak perempuannya, Siripan, yang kini berusia 73 tahun, turut merupakan atlet Masters. Dalam kejohanan yang sama, beliau memenangi dua pingat emas dan satu perak dalam acara balingan.
Difahamkan, mereka berlatih bersama beberapa kali seminggu di pantai Rayong, Thailand.
“Bersenam menjadikan hidup lebih baik,” kata Sawang.
Sumber: The Economic Times
The post Atlet Thailand Berusia 105 Tahun Raih Pingat Emas Acara Lari Pecut appeared first on Siakap Keli.
