
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan memaklumkan kepada kerajaan supaya penubuhan pasukan khas Cyber Force Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat dipercepatkan susulan peningkatan ancaman serangan siber.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perancangan awal penubuhan pasukan itu dijangka dilaksanakan menjelang 2030, namun perkembangan ancaman siber ketika ini memerlukan usaha berkenaan dipercepatkan.
“Kita telah membuat keputusan dan memaklumkan kepada Kabinet bahawa kita memerlukan satu pasukan khusus untuk menangani ancaman siber.
“Kita tidak mahu dikejutkan dalam keadaan tanpa persediaan, maka kita telah memaklumkan kepada kerajaan untuk mempercepatkan penubuhan Cyber Force,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Brigadier General Kehormat kepada Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, ketika ini keupayaan berkaitan siber sudah wujud dalam ATM, namun ia dilaksanakan secara dalaman menerusi perkhidmatan dan unit masing-masing.
Justeru katanya, kementerian berpandangan keupayaan berkenaan perlu digabungkan bagi membentuk satu kekuatan khusus untuk menangani ancaman siber.
Katanya, penubuhan Cyber Force akan menjadikan bidang siber sebagai satu lagi cabang dalam ATM selain Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.
“Kalau secara tradisional kita tahu peperangan berlaku di darat, laut atau udara, tetapi sekarang kita dapati wujud peperangan siber.
“Oleh sebab itulah kita berpendapat kita memerlukan satu pasukan khusus untuk menangani ancaman berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan nukleus bagi merangka perancangan penubuhan Cyber Force sudah diwujudkan dan sedang meneliti aspek organisasi pasukan berkenaan.
Mengulas mengenai peningkatan serangan siber, Mohamed Khaled berkata, ancaman berkenaan bukan perkara baharu bagi sektor pertahanan, malah dijangka menjadi lebih hebat dan serius selari dengan kemajuan teknologi.
Katanya, penubuhan Cyber Force akan turut didasari keupayaan risikan, manakala perincian berkaitan strategi dan ketenteraan tidak boleh didedahkan kepada umum. – KOSMO! ONLINE
The post ATM percepat penubuhan Cyber Force appeared first on Kosmo Online.






