ATM sasar penempatan anggota 50:50 di Sabah, Sarawak

LocalPolitics
4 Nov 2026 • 4:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ATM sasar penempatan anggota 50:50 di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menyasarkan penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah dan Sarawak mencapai nisbah 50:50 berbanding Semenanjung bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini lebih 9,000 anggota ATM ditempatkan di Sabah dengan pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negeri itu.

Katanya, usaha tersebut merangkumi pemasangan radar pertahanan udara, penambahbaikan radar pesisir pantai serta kerja menaik taraf kem tentera sedia ada bagi mempertingkat pemantauan keselamatan khususnya di Laut China Selatan.

“Kerajaan mengakui kebimbangan yang timbul susulan kehadiran tentera asing, khususnya di Laut China Selatan. Bagaimanapun, setiap negara mempunyai hak untuk memperkukuh pertahanan masing-masing.

“Kerajaan akan terus memastikan keselamatan Sabah terpelihara dengan meningkatkan kekuatan dan kesiapsiagaan anggota tentera,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung keperluan menambah anggota dan aset pertahanan susulan perkembangan keselamatan di Laut China Selatan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kerajaan juga akan memperkukuh peranan Labuan sebagai pangkalan udara dengan menempatkan sebahagian daripada 18 pesawat pejuang FA-50 yang bakal diterima ATM di kawasan berkenaan.

Selain itu, katanya, keupayaan pertahanan maritim di Sabah turut dipertingkat menerusi penempatan kapal misi pesisir (LMS) baharu yang dijadual diterima mulai tahun depan.

“Begitu juga kapal LMS, apabila kita menerima penyerahannya mulai tahun depan sebanyak tiga buah, selain kapal sedia ada, antaranya akan ditempatkan di Sabah.

“Setiap perolehan aset dan keperluan pertahanan baharu akan mengambil kira keperluan penempatan di Sabah dan Sarawak, khususnya Sarawak yang mempunyai kepentingan sumber ekonomi di kawasan Laut China Selatan,” katanya. – UTUSAN

The post ATM sasar penempatan anggota 50:50 di Sabah, Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved