johardy04/11/2026 - 09:50 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - Sabah menawarkan diri untuk menjadi hab tenaga nuklear pertama Malaysia sebagai langkah menangani peningkatan permintaan elektrik dan mengurangkan kebergantungan negeri itu terhadap gas asli serta diesel.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Sabah (BBC), Datuk Masiung Banah berkata, negeri itu perlu bersedia menghadapi lonjakan permintaan elektrik menjelang 2031 ketika infrastruktur bekalan tenaga sedia ada masih bergelut untuk memenuhi keperluan pembangunan.
Cadangan itu dikemukakan ketika Malaysia sedang meneroka tenaga nuklear sebagai sumber bekalan elektrik jangka panjang, dengan Sabah dan Semenanjung Malaysia dikenal pasti sebagai lokasi yang praktikal bagi pembinaan loji tenaga nuklear pada masa hadapan.
Masiung berkata, kebergantungan Sabah terhadap gas asli dan diesel menyebabkan sektor bekalan elektrik negeri itu terdedah kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global, sekali gus menunjukkan keperluan mempelbagaikan sumber tenaga.
"BBC melihat keperluan kerajaan Sabah membuat persediaan menghadapi lonjakan permintaan elektrik menjelang 2031 dan mengurangkan kebergantungan kepada gas asli serta diesel ketika pasaran global tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan.
"Oleh itu, Sabah bersedia menawarkan diri sebagai hab pertama bagi program tenaga nuklear berimpak tinggi ini."
Kerjasama Sabah dan Kerajaan Persekutuan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, kapasiti bekalan elektrik Sabah masih berada dalam keadaan tertekan, manakala pembangunan infrastruktur utilitinya ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bekerjasama melaksanakan inisiatif tenaga nuklear itu menerusi rundingan berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Cadangan tersebut menyusuli kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini yang mengenal pasti Sabah dan Semenanjung Malaysia sebagai lokasi paling praktikal bagi pembinaan loji tenaga nuklear dalam beberapa dekad akan datang, sekiranya Malaysia memutuskan untuk meneruskan pembangunan tenaga berkenaan.
Masiung turut mencadangkan supaya Malaysia mempertimbangkan pembangunan loji tenaga nuklear terapung sebagai alternatif kepada kemudahan konvensional yang dibina di daratan.
Menurut beliau, loji nuklear terapung berpotensi menawarkan fleksibiliti lebih besar dari segi kos pembinaan dan tempoh pelaksanaan, selain sesuai dipertimbangkan berdasarkan kedudukan Sabah yang mempunyai kawasan pesisir pantai yang luas.
Cadangan itu masih di peringkat awal dan belum ada keputusan rasmi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan hab tenaga nuklear di Sabah. - DagangNews.com





