
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia mengatur gerak aset udaranya bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan pemindahan perubatan kecemasan di kawasan pedalaman.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, langkah itu bagi menampung keperluan mendesak susulan nahas helikopter FDS yang terhempas di Miri, Sarawak pada Selasa lalu.
Beliau berkata, ATM mempunyai kemudahan serta peruntukan helikopter yang mencukupi untuk melaksanakan misi berkenaan dan bersedia bekerjasama sebaik sahaja permohonan rasmi diselaraskan pihak kementerian.
“Sebagai penyedia perkhidmatan dalam konteks keselamatan menyeluruh serta bantuan kecemasan, kita akan tampung kelompangan pada waktu kritikal ini, terutamanya di kawasan yang sukar diakses.
“Kita sedia penuhi permintaan pihak kementerian dan menyelaraskan gerak kerja operasi ini bersama-sama bagi memastikan perkhidmatan untuk rakyat tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Temubual Khas PAT sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Malek Razak menjelaskan bantuan ATM itu tertumpu kepada sokongan pemindahan kecemasan dan bukannya mengambil alih pengoperasian perubatan rutin KKM secara keseluruhan.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan empat agensi kerajaan termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan membantu KKM melaksanakan penerbangan ihsan sementara waktu.
Langkah alternatif itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Bantuan berkenaan dilaksanakan sementara menunggu hasil siasatan dan penambahbaikan aspek keselamatan operasi FDS selesai.
Terdahulu, nahas helikopter BO-105 yang terhempas dan terbakar di Long Lellang, Miri pada Selasa lalu mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas perubatan KKM.
Mereka yang terkorban ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.-KOSMO! ONLINE
The post ATM sedia atur gerak aset udara bantu pasukan doktor udara – PAT appeared first on Kosmo Online.






