KUALA LUMPUR - Aset udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia diatur gerak bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan pemindahan perubatan kecemasan di kawasan pedalaman.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, ATM mempunyai kemudahan serta peruntukan helikopter yang mencukupi untuk melaksanakan misi tersebut.
"ATM sedia berkerjasama sebaik sahaja permohonan rasmi diselaraskan oleh pihak kementerian.
"Sebagai penyedia perkhidmatan dalam konteks keselamatan menyeluruh serta bantuan kecemasan, kita akan tampung kelompangan pada waktu kritikal ini, terutamanya di kawasan yang sukar diakses," katanya dalam sesi temubual sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan, di sini pada Isnin.
Malek berkata, pihaknya sedia memenuhi permintaan pihak kementerian dan menyelaraskan gerak kerja bagi memastikan perkhidmatan untuk rakyat tidak terjejas.
Pada Ahad, media melaporkan KKM akan menggunakan aset dari empat agensi penguatkuasaan bagi mengendalikan penerbangan ihsan bagi merawat pesakit di pedalaman.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, empat agensi itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Dr Dzulkefly memaklumkan, bantuan penerbangan itu dijalankan selepas KKM memutuskan semua operasi FDS ditangguhkan bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi oleh pihak berkaitan.
Tragedi helikopter BO-105 yang terhempas dan terbakar berhampiran landasan STOLport Long Lellang, Sarawak, 8 September lalu telah mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas perubatan KKM.
Mereka yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.






