Bluesky adalah salah satu platform media sosial yang dibangunkan oleh mereka yang meninggalkan X/Twitter setelah Elon Musk mengambil-alih platform tersebut, dan dilihat sebagai salah satu platform media sosial yang banyak memperkenalkan ciri-ciri baru, tetapi juga masih mengekalkan garis masa yang tidak begitu dinodai algoritma dan kecerdasan buatan.
Akan tetapi, perkara tersebut nampaknya akan berubah dengan pengenalan Attie, sebuah pembantu digital berasaskan kecerdasan buatan agentik yang akan membantu pengguna di platform tersebut untuk membangunkan garis masa tersuai menggunakan input pengguna.

Penggunaan AI agentik Attie ini akan membolehkan pengguna untuk memperlihatkan garis masa tersuai melalui “perbualan semulajadi” dan bukan menggunakan menu konteks semata-mata. Menurut Jay Graber, Ketua Pegawai Inovasi Bluesky, AI agentik ini akan membolehkan pengguna untuk menyesuaikan garis masa mereka secara lebih terperinci dan bersesuaian dengan konteks yang diberikan.

Dalam pada itu, Attie juga akan ditawarkan secara berasingan daripada platform Bluesky melalui pautan Attie.ai dan kini berada dalam fasa ujian beta tertutup, dan hanya boleh diakses melalui jemputan buat masa ini. Ia juga bermakna bahawa anda tidak perlu menggunakan pembantu AI ini sekiranya anda tidak mahu atau kisah untuk menggunakannya.





