liza05/05/2026 - 11:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Mei – Audi Q5 baharu generasi ketiga kini rasmi dilancarkan di Malaysia oleh PHS Automotive Malaysia, menawarkan dua pilihan varian iaitu Q5 Advanced dan Q5 Sportback S line dengan harga bermula RM352,990 hingga RM421,990 yang memperkukuhkan lagi segmen SUV premium di pasaran tempatan.
PHS Automotive Malaysia (PHSAM) berkata model baharu itu dilancarkan dengan penekanan terhadap gabungan reka bentuk progresif, teknologi terkini serta prestasi pemanduan yang lebih dinamik untuk pengguna di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan PHSAM, Renate Noessler, Audi Q5 baharu ini menampilkan dua varian berbeza yang menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengagumkan dalam setiap situasi.
Model ini dibangunkan atas platform Premium Platform Combustion (PPC) yang direka khusus untuk enjin pembakaran dalaman, bagi memastikan keseimbangan antara prestasi, kecekapan serta pendekatan lebih mampan terhadap teknologi automotif.
Dari segi reka bentuk, Q5 Advanced tampil dengan imej lebih elegan melalui rim 19 inci rekaan 10-Arm Aero, gril kemasan Advanced serta garis badan yang lebih bersih dan seimbang untuk kegunaan harian yang praktikal.
Sementara itu, Q5 Sportback S line tampil lebih sporty dengan siluet bumbung coupé yang dinamik, diserlahkan oleh kemasan S line pada gril, sisi, tempat duduk dan bampar. Ia turut dilengkapi rim Audi Sport 20 inci serta angkup brek merah.
Kedua-dua varian turut dilengkapi sistem lampu Matrix LED dengan teknologi Digital Light Signatures serta fungsi Coming and Leaving Home, yang bukan sahaja meningkatkan pencahayaan tetapi juga memberi kesan visual premium ketika kenderaan dihidupkan atau dimatikan.


Dari aspek prestasi, Q5 Advanced dikuasakan enjin 2.0 liter TFSI yang menghasilkan 199PS, manakala Q5 Sportback S line menggunakan enjin sama tetapi dinaik taraf kepada 272PS, dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan S tronic serta sistem pacuan semua roda quattro.
Kedua-dua model turut menawarkan sistem Audi Drive Select yang membolehkan pemandu menukar karakter pemanduan mengikut keselesaan atau gaya agresif, termasuk tetapan stereng, enjin dan suspensi untuk pengalaman lebih fleksibel.
Di bahagian dalaman, Q5 Advanced menampilkan kemasan Lime Sediment Natural dengan fokus kepada keselesaan keluarga, manakala Q5 Sportback S line hadir dengan kemasan Carbon Micro Twill, stereng sport S line dan tempat duduk sport yang lebih menyokong posisi pemanduan.
Kabin kedua-dua varian dilengkapi paparan panorama OLED MMI 14.5 inci, Audi Virtual Cockpit Plus 11.9 inci serta sistem kawalan suara Audi Assistant yang diperkasa dengan teknologi ChatGPT untuk pengalaman interaksi lebih pintar dan semula jadi.
Selain itu, model ini turut menyokong Audi Connect, pengecas tanpa wayar, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta port pengecas USB-C pantas sehingga 60 watt di hadapan dan sehingga 100 watt di belakang bagi Q5 Sportback S line.
Dari segi praktikaliti, Q5 Advanced menawarkan ruang bagasi 520 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1,473 liter, manakala Q5 Sportback S line menyediakan 515 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,415 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Bagi keselamatan dan pemilikan, kedua-dua varian dilengkapi sistem bantuan pemandu ADAS termasuk Audi Pre Sense, Adaptive Cruise Control, Blind Spot Monitoring, kamera 360 darjah serta waranti 2 tahun tanpa had perbatuan, disertakan pakej servis percuma 5 tahun dan waranti lanjutan sehingga 5 tahun atau 150,000 km. - DagangNews.com





