liza04/05/2026 - 17:56 KUALA LUMPUR 4 Mei – Impeccable Vintage Properties Sdn Bhd (IVP), anak syarikat milik Khazanah Nasional Bhd, sedang meneroka pembangunan sehingga enam hangar baharu di kompleks aeroangkasa miliknya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pelan pembangunan itu bagaimanapun bergantung kepada permintaan pelanggan serta ketersediaan tanah.
Ketua Pegawai Eksekutif IVP, Abdul Ommar Musa berkata, pembangunan tersebut masih di peringkat awal dan sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan permintaan pelanggan, khususnya dalam kalangan syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan pesawat.
“Model perniagaan hangar di Subang melibatkan pajakan jangka panjang, justeru setiap keputusan pembangunan perlu mengambil kira kemampuan penyewa untuk mengekalkan operasi dalam tempoh berkenaan,” katanya, lapor The Edge.
Kawasan seluas kira-kira 100 ekar itu merupakan aset asal yang sebelum ini dimiliki Malaysia Airlines dan berada dalam keadaan kurang digunakan atau tidak dimanfaatkan secara optimum sebelum diambil alih IVP pada 2021 untuk tujuan pembangunan semula.
Ketika ini, kompleks tersebut menempatkan sejumlah kira-kira 27 bangunan dan fasiliti termasuk hangar sedia ada yang sedang melalui proses naik taraf.
Abdul Ommar berkata kerja-kerja naik taraf bermula secara berperingkat sejak 2020 bagi memastikan fasiliti mematuhi keperluan industri penerbangan semasa.
Beliau berkata Hangar 3 telah memperoleh sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) pada Februari tahun ini, menandakan kerja naik taraf utama bagi hangar tersebut telah selesai mengikut piawaian ditetapkan.
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan bagi memenuhi standard penerbangan terkini, selain pemasangan peralatan khusus seperti pintu hangar dan sistem teleplatform, yang sebahagiannya masih dalam proses penghantaran dari luar negara.
Kompleks aeroangkasa itu kini mempunyai tiga hangar utama dengan kapasiti berbeza. Hangar 2 mampu menempatkan sehingga dua pesawat berbadan lebar atau empat pesawat berbadan sempit, manakala Hangar 3 boleh menampung dua pesawat berbadan lebar dan satu pesawat berbadan sempit.
Hangar 4 pula direka untuk menampung satu pesawat berbadan lebar, satu pesawat berbadan sempit serta dua pesawat turboprop.
Kesemua hangar tersebut kini telah disewakan kepada penyewa industri penerbangan, termasuk unit SIA Engineering Company serta Malaysia Airlines Engineering, di bawah perjanjian pajakan jangka panjang.
Hangar 2 dan Hangar 3 masing-masing disewakan kepada SIA Engineering Company menerusi perjanjian selama 15 tahun yang kini memasuki tahun ketiga, manakala Hangar 4 disewakan kepada bahagian kejuruteraan Malaysia Airlines.
Di bawah model operasi ini, IVP bertindak sebagai penyedia infrastruktur, manakala penyewa mengendalikan operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat untuk pelanggan syarikat penerbangan masing-masing.
Abdul Ommar berkata penyewa mempunyai kebebasan untuk menjalankan operasi mereka sendiri termasuk berurusan dengan pelbagai pelanggan syarikat penerbangan berdasarkan kapasiti dan keupayaan masing-masing.
Beliau berkata sekiranya pembangunan hangar baharu diteruskan, IVP berkemungkinan membina sama ada hangar berskala besar seperti sedia ada atau unit bersaiz lebih kecil, yang membolehkan kapasiti keseluruhan meningkat sehingga enam hangar, bergantung kepada permintaan pasaran.
Abdul Ommar turut menegaskan bahawa sasaran IVP adalah untuk membangunkan bukan sekadar pusat MRO, tetapi sebuah ekosistem aeroangkasa yang lebih menyeluruh di Subang.
Menurut beliau, IVP menyasarkan untuk menarik lebih banyak pemain industri termasuk pengendali dron, penyedia perkhidmatan penerbangan serta syarikat pesawat peribadi bagi mengembangkan penggunaan kawasan tersebut.
Dalam perkembangan lain, IVP turut sedang berbincang dengan Universiti Kuala Lumpur bagi pembangunan bersama sebuah hangar di atas kawasan seluas 2.8 hektar yang dikongsi antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, kemajuan projek tersebut agak perlahan disebabkan cabaran berkaitan peraturan, keselamatan serta keperluan akses di dalam kawasan lapangan terbang, selain isu sempadan (boundary) dan infrastruktur yang masih dalam perbincangan antara kedua-dua pihak.- DagangNews.com





