
PAPAR - Kematian Zara Qairina Mahathir terus menjadi bualan hangat, selepas klip audio perbualan anak gadis itu bersama ibunya tular di media sosial.
Klip berdurasi 44 saat itu antara lain menceritakan ketakutan mangsa terhadap pelajar senior di sekolahnya, yang hanya dikenali sebagai ‘Kak M’.
Perbualan tersebut dikatakan berlaku beberapa hari sebelum anak malang itu ditemui tidak sedarkan diri dan meninggal dunia selepas itu.
Menerusi rakaman, Zara berkongsi ketakutan selepas menerima ugutan daripada pelajar terbabit.
“Mak, Zara takut terjumpa Kak M... dia masih lagi. Haritu (hari itu) Zara minta tolong ada orang ni kan, cuba kau tanyakan dekat adiknya, cuba kau tanyakan dekat si Kak M masih lagikah dia ada masalah dengan aku.
"Lepas itu, Kak M tu bilang, 'iya aku masih lagi nda (tidak) maafkan si Zara', mak," kata suara dipercayai milik Zara dalam rakaman itu.
Rakaman berkenaan turut memuatkan perbualan mengenai nama Zara yang dipadam dari papan di bilik Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), namun didakwa ditulis semula oleh Kak M.
Lebih merisaukan, mangsa turut menyebut ancaman fizikal yang diterimanya.
"Kalau aku touch touch kau ni, berdarah-darah kau ni… kalau dia buat, apa jadi?" katanya.
Menurut laporan media, Zara ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah agama berasrama penuh di Papar, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Pada 1 Ogos, pasukan peguam yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, mengesahkan suara dalam rakaman tersebut adalah milik Zara dan ibunya.
Peguam Ismail Hamid dan Shahlan Jufri turut memaklumkan bahawa satu laporan polis tambahan telah dibuat di Balai Polis Sipitang pada 30 Julai.
Menurut kenyataan tersebut, Zara sebelum ini pernah membuat aduan mengenai gangguan dan ugutan yang diterima daripada pelajar-pelajar senior, termasuk individu yang dikenal pasti sebagai “Kak M”.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, semalam mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kematian Zara telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
AGC turut mengesahkan telah mengesahkan penerimaan laporan awal siasatan daripada cawangan Sabah pada 3 Ogos dan ibu pejabat Putrajaya pada 4 Ogos, dan kes tersebut kini sedang diteliti untuk tindakan lanjut. - Getaran, 5 Ogos 2025


