Audit forensik dedah transaksi tanpa kelulusan dan ESOS langgar peraturan di Jetson

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 11:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Audit forensik dedah transaksi tanpa kelulusan dan ESOS langgar peraturan di Jetson Image from: Audit forensik dedah transaksi tanpa kelulusan dan ESOS langgar peraturan di Jetson johardy03/08/2026 - 11:37 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Audit forensik bebas terhadap Kumpulan Jetson Berhad mendedahkan beberapa transaksi pembayaran sebelum ini dibuat tanpa dokumentasi sokongan yang mencukupi, rasional komersial yang jelas atau kelulusan sewajarnya.

 

Semakan itu turut mendapati skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) sebelum penstrukturan semula tidak dilaksanakan mengikut undang-undang serta keperluan kawal selia yang berkuat kuasa, kata Jetson dalam kenyataan hari ini.

 

Penemuan itu terkandung dalam laporan semakan forensik komprehensif bebas yang disediakan oleh BDO Governance Advisory Sdn. Bhd., yang dilantik oleh Lembaga Pengarah Jetson bagi menyiasat transaksi pembayaran yang dipertikaikan serta tadbir urus, pelaksanaan dan pengoperasian skim ESOS yang dilaksanakan sekitar Jun 2025.

 

 

 

 

 

Menurut Jetson, semakan itu melibatkan transaksi dan proses yang dilaksanakan sebelum pembentukan lembaga pengarah semasa pada September 2025.

 

Laporan forensik tersebut kini memberikan asas kepada lembaga pengarah semasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu-isu legasi, termasuk tindakan dari sudut perundangan dan tadbir urus korporat.

 

Lembaga baharu perkukuh tadbir urus

Lembaga Pengarah Jetson berkata, penyiapan audit forensik bebas itu merupakan satu langkah penting dalam menangani isu-isu yang berlaku sebelum pelantikan lembaga pengarah sedia ada.

 

"Lembaga kini memberi tumpuan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian, memperkukuh tadbir urus serta kawalan dalaman, dan memacu kumpulan ke hadapan menerusi penstrukturan semula yang berdisiplin serta penciptaan nilai yang mampan.

 

"Lembaga komited untuk membina semula keyakinan dan mewujudkan asas yang lebih kukuh bagi masa depan Jetson," katanya.

 

Lembaga pengarah turut menilai implikasi operasi dan kewangan yang mungkin timbul daripada penemuan audit forensik itu.

 

Bagaimanapun, berdasarkan penilaian setakat ini, syarikat berpandangan tiada kesan serta-merta terhadap penyata kewangan kumpulan.

 

Sedia ambil tindakan undang-undang

Jetson berkata, kumpulan sedang mendapatkan nasihat guaman berhubung penemuan tersebut dan bercadang mengambil tindakan yang bersesuaian, termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan serta memulakan tindakan sivil terhadap pihak-pihak yang dikenal pasti, sekiranya disyorkan oleh penasihat undang-undang.

 

Menurut syarikat itu, langkah tersebut adalah bagi melindungi kepentingan kumpulan di samping memperkukuh akauntabiliti dan disiplin operasi sebagai sebahagian daripada agenda penstrukturan semula.

 

 

 

 

 

 

Lembaga pengarah berkata, usaha itu akan membantu memperkukuh asas tadbir urus kumpulan dan menyokong pertumbuhan mampan serta penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

 

Jetson turut memaklumkan akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia Securities Berhad sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berhubung perkara itu. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved