RCI syor audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji termasuk FGV, Alam Maritim, Trurich

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 9:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RCI syor audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji termasuk FGV, Alam Maritim, Trurich Image from: RCI syor audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji termasuk FGV, Alam Maritim, Trurich johardy30/07/2026 - 09:02 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengesyorkan audit forensik dijalankan terhadap 14 pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk pelaburannya dalam FGV Holdings Bhd, susulan penemuan kelemahan serius dalam tadbir urus yang menyumbang kepada kemerosotan nilai aset institusi itu.

 

Menurut laporan RCI yang dinyahklasifikasikan, pelaburan terbabit mempamerkan kelemahan ketara dalam aspek tadbir urus sehingga menyebabkan nilai aset TH merosot dengan ketara.

 

RCI mendapati terdapat "terlalu banyak lapisan dan proses pertimbangan" pada setiap peringkat membuat keputusan pelaburan.

 

Walaupun proses yang panjang itu sepatutnya menghasilkan keputusan pelaburan yang lebih baik, perkara sebaliknya berlaku.

 

"Justeru, tidak menghairankan apabila terdapat begitu banyak pelaburan bermasalah di TH," menurut laporan itu.

 

Suruhanjaya turut mendapati keputusan pelaburan dibuat dalam keadaan penyelarasan yang lemah antara Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Bahagian Hartanah dan Ketua Perbendaharaan.

 

RCI mendapati Panel Pelaburan terlalu bergantung kepada cadangan yang dikemukakan pihak pengurusan TH tanpa membuat penelitian secara bebas terhadap setiap cadangan pelaburan.

 

Pada masa sama, menteri pula meluluskan cadangan berdasarkan memorandum yang disediakan Lembaga dan pengurusan TH tanpa mendapatkan nasihat bebas daripada pihak ketiga.

 

Antara pelaburan yang disyorkan menjalani audit forensik ialah FGV Holdings Bhd, TH Plantations Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, TH Marine, Trurich Resources Sdn Bhd dan Deru Semangat Sdn Bhd.

 

FGV paling besar TH rugi

Daripada keseluruhan pelaburan itu, RCI mengenal pasti pelaburan dalam FGV sebagai yang paling besar mengalami kerugian.

 

TH merekodkan kerugian belum direalisasikan sebanyak RM1.059 bilion selepas terus mengumpul pegangan saham syarikat perladangan itu susulan tawaran awam permulaan (IPO) pada 2012.

 

Pada peringkat awal, TH melanggan 273.58 juta saham atau 7.5% kepentingan dalam FGV dengan jumlah pelaburan kira-kira RM1.25 bilion pada kos purata RM4.58 sesaham.

 

TH kemudian membeli lagi 232.01 juta saham antara 23 Julai hingga 3 Oktober 2012 pada harga purata RM5.01 sesaham.

 

Bagaimanapun, harga pasaran saham FGV akhirnya menjunam kepada hanya 88.5 sen sesaham sehingga menyebabkan kerugian belum direalisasikan mencecah RM1.06 bilion.

 

TH kemudiannya memindahkan 283.71 juta saham FGV kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada harga RM4.62 sesaham bagi mengelakkan kerugian direalisasikan kira-kira RM1.1 bilion.

 

Trurich Resources rugi RM364.31 juta

RCI berkata TH membuat rosot nilai sepenuhnya terhadap pelaburan RM364.31 juta dalam Trurich Resources Sdn Bhd selepas usaha sama dengan Felda Global Ventures Kalimantan Sdn Bhd untuk membangunkan kira-kira 200,000 hektar ladang di Kalimantan, Indonesia gagal memberikan pulangan seperti diharapkan.

 

Menurut laporan itu, Trurich Resources kemudiannya menjadi tidak solven dengan liabiliti RM119.67 juta pada akhir Disember 2017 dan RM92.78 juta pada 2018.

 

Syarikat itu juga masih mempunyai pinjaman tertunggak dengan Maybank berjumlah AS$179 juta (RM732 juta).

 

TH Marine rugi RM278 juta

RCI turut mendedahkan TH melabur RM334 juta dalam kumpulan TH Marine, merangkumi RM198 juta pelaburan ekuiti dan RM136 juta pembiayaan, bagi mengembangkan perniagaan kapal sokongan luar pesisir.

 

Menjelang Disember 2021, keseluruhan pelaburan ekuiti RM198 juta serta RM80 juta pembiayaan telah dikenakan rosot nilai, menjadikan jumlah rosot nilai mencecah RM278 juta.

 

Bagaimanapun, penilaian pemulihan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menganggarkan hanya RM70.4 juta daripada pelaburan itu berpotensi dipulihkan.

 

Deru Semangat rugi RM225 juta

RCI mendapati pelaburan TH dalam Deru Semangat Sdn Bhd bagi projek pembangunan ladang kelapa sawit di Pahang merosot selepas aktiviti pembersihan tanah melanggar syarat No Deforestation, No Peat and No Exploitation (NDPE).

 

Pelanggaran itu menyebabkan pembeli utama termasuk Wilmar International menolak hasil projek berkenaan sehingga pembangunan terbantut.

 

TH memperoleh 55% pegangan dalam Deru Semangat daripada Almarhum Sultan Pahang pada harga RM231 juta sebelum komited membiayai pembangunan ladang bernilai RM295.16 juta.

 

Sehingga Januari 2021, TH telah mengeluarkan RM257 juta bagi kos pengambilalihan dan pembangunan projek itu.

 

Daripada jumlah tersebut, hanya RM32 juta berjaya dipulihkan menyebabkan kerugian kira-kira RM225 juta.

 

TH kemudiannya mengambil langkah keluar daripada pelaburan itu dengan memindahkan pegangan 55% serta pembiayaan sedia ada kepada Tengku Muda Pahang pada nilai RM259 juta.

 

Sebagai sebahagian daripada urus niaga itu, Tengku Muda Pahang turut bersetuju melepaskan obligasi TH untuk menyediakan baki pembiayaan masa depan sebanyak RM258 juta, merangkumi RM71 juta ekuiti dan RM187 juta pembiayaan.

 

TH Plantations rosot nilai RM170 juta

RCI turut merujuk semakan forensik PwC bertarikh 25 April 2019 yang mengenal pasti kelemahan tadbir urus dalam pengambilalihan ladang oleh TH Plantations antara 2012 hingga 2014.

 

Pengambilalihan itu membabitkan Bumi Suria Ventures Sdn Bhd, Maju Warisanmas Sdn Bhd dan PT Persada Kencana Prima.

 

Menurut laporan itu, TH Plantations membiayai pembelian ladang berkenaan menggunakan pembiayaan termasuk Sukuk RM1.2 bilion, namun pelaburan itu gagal mencapai prestasi yang diharapkan.

 

Hanya kira-kira 58% daripada ladang yang diperoleh berjaya beroperasi secara produktif, memaksa syarikat melupuskan aset dan mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan bagi memenuhi obligasi hutang.

 

Pengurangan perbelanjaan itu akhirnya menyebabkan hasil minyak sawit merosot sebelum TH mengiktiraf rosot nilai sebanyak RM170 juta ke atas pelaburan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved