Auni aktif pelbagai aktiviti, cabar diri jadi PM

28 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Auni aktif pelbagai aktiviti, cabar diri jadi PM

BUKAN hanya menggalas tanggungjawab sebagai pelajar, malah Nur Husnina Auni Noorsaidi, 22, memaksimumkan alam universiti dengan menyertai pelbagai aktiviti kepemimpinan, kesukarelawanan, pengacaraan, tarian, teater, debat dan sukan.

Menurut Nur Husnina Auni atau lebih dikenali sebagai Auni, sebagai pelajar, dia tidak memberi fokus kepada akademik semata-mata, sebaliknya menggunakan peluang itu untuk menambah ilmu dan pengalaman dalam pelbagai aktiviti.

Menurut Auni, setiap tahun, dia meletakkan sasaran untuk memastikan diri sentiasa berkembang dan mencuba pelbagai pengalaman baharu.

“Sebagai contoh, saya pernah menggalas tugas sebagai Pemudahcara Mahasiswa (PM) dan Jawatankuasa Tindakan Kolej Protokol dan Majlis untuk sesi sebelum ini.

“Maka pada tahun ini, saya mencabar diri untuk menggalas tugas sebagai Ketua PM pula.

“Saya dan pasukan PM Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah atau juga dikenali sebagai Kolej Kediaman Kedua di Universiti Malaya (UM) berkampung selama sebulan.

“Kami merangka pelbagai program bagi menyambut kemasukan pelajar baharu sekitar 600 orang pada tahun ini,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di UM itu kepada K-Kampus.

Penglibatan aktif dalam projek-projek Kolej Kediaman Kedua melayakkan Auni menerima Anugerah Citra Inspirasi bagi mengiktiraf sumbangannya.

Image from: Auni aktif pelbagai aktiviti, cabar diri jadi PM
AUNI merupakan atlet Sukmum bagi sukan sofbol, bola jaring, bola baling dan larian.

Mengulas mengenai minatnya dalam pengajian undang-undang, Auni memberitahu, ia bermula selepas dia aktif dalam pengacaraan, syarahan dan debat ketika di bangku sekolah menengah sehingga memasang cita-cita sebagai peguam.

“Minat dalam debat ini diteruskan di UM apabila saya turut mengikuti Pertandingan Debat Piala Timbalan Naib Canselor, UM (2025/2026), kemudian bakat dalam pengucapan awam dikembangkan lagi sebagai pengacara majlis.

“Saya juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai Festival Seni UM (Feseni UM) untuk mempersembahkan tarian kreatif.

“Ini kerana ketika di sekolah menengah, saya belajar tarian tradisional dan kreatif. Jadi, saya mengembangkan bakat tarian itu di sini pula,” ujar gadis berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, dia juga aktif dalam kerja kesukarelawanan anjuran kolej kediaman seperti Bakti Siswa dengan menjalankan pelbagai aktiviti di sekolah dan kawasan pedalaman.

“Saya bergiat aktif dalam sukarelawan bersama Bakti Siswa sejak dua tahun lalu.

“Kami banyak didedahkan dengan aktiviti sukarelawan bersama orang kurang bernasib baik dan penduduk di kawasan pedalaman.

“Kami juga menjalankan aktiviti gotong-royong, mengajar dan merangka permainan interaktif bersama pelajar-pelajar sekolah,” ceritanya yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua biro aktiviti.

Tambah Auni, penglibatan dalam kepimpinan meninggalkan impak yang besar dalam dirinya kerana menjadi ketua memerlukan dia menjadi lebih terbuka dan amanah.

“Sebagai ketua juga, kita perlu menjadi contoh teladan yang baik.

“Sekiranya kita menetapkan sesuatu peraturan, maka ketua itu perlu menjadi orang pertama yang mengikutinya.

“Kedua, kita perlu mempunyai sifat terbuka untuk menerima pandangan orang lain kerana buah fikiran mereka penting untuk menyelesaikan masalah dan mencapai objektif dimahukan,” tuturnya.

Menariknya, Auni juga merupakan atlet Sukan Mahasiswa Universiti Malaya (Sukmum) untuk sukan sofbol, bola jaring, bola baling dan larian.

Berbicara mengenai perancangan masa hadapan, anak ketiga daripada tujuh beradik itu memberitahu, dia mahu mencapai impian bergelar peguam dan mempunyai firma guaman sendiri suatu hari nanti.

The post Auni aktif pelbagai aktiviti, cabar diri jadi PM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved