
KUALA LUMPUR: Keprihatinan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membelanja sekumpulan murid sekolah makan meraih pujian ramai apabila momen tersebut tular di TikTok.
Menerusi video dikongsikan akaun @zul_khann, sekumpulan kanak-kanak lelaki pada mulanya dilihat hanya mengintai dari jauh penyanyi nombor satu negara itu yang sedang menikmati juadah di sebuah premis.
Jelas mereka malu-malu, namun dalam masa sama teruja melihat idola berada depan mata.
Tidak lama kemudian, mereka memberanikan diri menghampiri Tok Ti untuk meminta autograf. Lucunya, ada yang sanggup mengoyakkan helaian buku latihan sendiri semata-mata mahu mendapatkan tandatangan.
“Mereka minta ‘sign’ budak-budak ini, habis dikoyakkan buku. Nanti kita ambil gambar,” kata Siti sambil ketawa kecil, melayan kerenah mereka.
Selepas itu, Siti keluar berjumpa dan melayani anak-anak terbabit bergambar bersama. Beliau turut sempat berpesan agar peminat ciliknya belajar rajin-rajin.
Tok Ti Siap Belanja Makan
Namun momen paling mencuri perhatian pastinya apabila beliau bertanya sama ada mereka sudah makan.
“Sudah makan ke? Pergilah makan,” ujarnya lembut.
Salah seorang murid kemudian mengaku tidak mempunyai wang kerana masih bersekolah. Tanpa berfikir panjang, Siti terus membalas, “Tak apa, aunty belanja, pergi makan.”
Tindakan spontan itu nyata mengundang senyuman ramai.
Menjengah ke ruangan komen, netizen turut berseloroh mengatakan budak-budak tersebut bertuah kerana ada rakan yang berani menegur Tok Ti, “kurang-kurang dapat makan free.”
Ada juga yang bergurau jumlah peminat Siti pasti semakin bertambah, malah menyifatkan selepas ini makin susah untuk ‘battle’ tiket konsert kerana “Sitizoner” baharu makin ramai.
Dalam masa sama, segelintir netizen berkongsi kisah lucu membayangkan reaksi ibu bapa yang pada awalnya tidak percaya anak mereka benar-benar terserempak Tok Ti, sehinggalah video tular menjadi bukti.
Malah, ada yang terkenang zaman menonton Siti di televisyen kotak sekitar era 90-an dan menyifatkan penyanyi itu masih sama seperti dulu, mesra, rendah diri dan dekat dengan peminat.
Jelas, bukan sekadar suara emas yang membuatkan Siti Nurhaliza terus disayangi ramai, tetapi juga keperibadiannya yang sederhana dan ikhlas.
Sikap itulah yang membuatkan ramai bersetuju, gelaran Biduanita Negara sememangnya layak digalas Tok Ti. – The Malaysian Update
The post “Aunty Belanja…” – Siti Nurhaliza Belanja Murid Sekolah Makan, Netizen Puji Sikap Rendah Diri Tok Ti appeared first on The Malaysian Update.





